Cerita Auto

Pemilik Proton Perdana Digesa Tukar Beg Udara

Proton memohon kerjasama pemilik Perdana mengunjungi pusat servis Proton secepat mungkin untuk mengganti inflator beg udara. Hanya kereta yang dibina antara tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018 yang terlibat. Servis baik pulih ini merupakan sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata.

Semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan penggantian inflator beg udara bukan kering. Pihak Proton telah memulakan proses penggantian sejak bulan Januari 2019.

“Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk 5,625 unit atau 87.5% dari jumlah keseluruhannya,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Syarikat itu menegaskan bahawa proses ini tidak melibatkan mana-mana model Proton yang lain kerana beg udara yang digunakan dibekalkan oleh pembekal yang berlainan. Keselamatan para pelanggan merupakan keutamaan Proton. Oleh demikian, kawalan ketat telah diambil untuk memastikan tiada kemungkinan berlaku insiden yang tidak diingini.

“Keselamatan pelanggan amat penting untuk Proton. Walau bagaimana pun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab maklumat pemilik tidak lengkap. Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka, hubungi pusat servis kami untuk membuat temu janji segera. Pertukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 pula tidak perlu menukar beg udara,” tambah beliau.

Pelanggan yang masih ada pertanyaan atau memerlukan bantuan, dinasihatkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1-800-888-398 atau e-mel customercare@proton.com.

Previous post

Renault Syarikat Langganan Kereta Terbaik

Next post

Pelancaran Dunia Honda City e: HEV di Petaling Jaya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *