Berita Auto

Kia Stinger Kini Dalam Versi Facelift

Kia Stinger telah berada di pasaran sejak 2017 dan kini tiba masa sedan sport dari Korea Selatan itu diberikan facelift.

Bermula dari bahagian luaran, Stinger facelift mendapat lampu hadapan baharu dan lampu nyalaan siang LED baharu. Kia turut menggunakan tint yang lebih gelap bagi imej yang lebih agresif berbanding sebelum ini.

Lampu belakang direka semula supaya kelihatan lebih lebar dan mengikut bentuk spoiler. Untuk lampu isyarat membelok, Kia menggunakan 10 unit LED yang disusun dalam bentuk corak bendera penamat (chequered flag). Diffuser turut diberi sentuhan segar.

Kia turut menawarkan pilihan warna baharu, muncung ekzos yang lebih besar, serta rim rekaan terkini yang boleh didapati dalam saiz 18 atau 19 inci. Untuk penampilan yang lebih garang, pelanggan boleh mendapatkan Dark Package.

Di dalam, walaupun susun atur dikekalkan, material yang digunakan dikatakan lebih berkualiti. Stereng dan panel instrumen digital berukuran 7 inci kini dihiasi dengan trim metalik dan krom, manakala cermin pandang belakang kini didatangkan dalam versi tidak berbingkai.

Bergantung pada spesifikasi, papan pemuka dan pintu dihiasi dengan jahitan kontras, manakala konsol tengah pula diserikan lagi dengan trim aluminium atau gentian karbon. Turut disertakan adalah skrin sentuh 10.25 inci dan sistem pencahayaan mood dengan 64 pilihan warna.

Untuk pasaran Korea, pelanggan boleh mendapatkan warna Dark Brown untuk bahagian dalaman dan upholsteri kulit Nappa. Untuk pasaran global pula, pilihan baharu termasuklah upholsteri kulit Nappa dalam warna Saturn Black, Red atau Beige.

Stinger facelift akan memasuki pasaran Korea bermula suku ketiga tahun ini. Perincian mengenai barisan enjin dan teknologi akan didedahkan tidak lama lagi.

Previous post

Kejuaran Toyota GR Velocity Esports Kembali Untuk Musim ke-3

Next post

Lagi-Lagi Teaser - Ini Kali Dalaman W223 Mercedes-Benz S-Class

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *