Berita Auto

Kejuaran Toyota GR Velocity Esports Kembali Untuk Musim ke-3

Perlumbaan maya anjuran Toyota iaitu Toyota GR Velocity Esports akan bermula lagi September ini dengan beberapa siri pusingan kelayakan, separuh akhir serta perlumbaan kemuncak dengan format empat-saingan.

Empat pusingan kelayakan dalam talian yang terhad kepada 180 peserta setiap pusingan, akan berlangsung pada 3-4 September dan 12-13 September, dijangka melibatkan seramai 720 pelumba. Pusingan ini akan dianjurkan di litar Fuji Speedway di Jepun dengan jentera lumba GR Supra RZ.

20 pemandu terpantas kemudiannya akan layak ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan pada 26 September di ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam. Pusingan itu bakal menyaksikan dua perlumbaan berasingan iaitu 22 pusingan di Kyoto Driving Park menggunakan jentera lumba prototaip TS050 Hybrid, dan 18 pusingan di litar Suzuka dengan jentera Dallara Super Formula SF19.

10 pemandu terpantas kemudiannya akan menempah tempat ke pusingan akhir pada 27 September di lokasi sama. Juara yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 akan ditentukan menerusi kutipan mata untuk empat pusingan:

  • perlumbaan pertama di litar Autodrome Lago Maggiore di Itali dengan GR Supra RZ (15 pusingan)
  • perlumbaan kedua di Autopolis Racing Course Jepun dengan FT-1 Vision Gran Turismo (18 pusingan)
  • perlumbaan ketiga dengan TS050 Hybrid di Circuit de la Sarthe di Perancis (10 pusingan)
  • perlumbaan keempat di litar Spa-Francorchamps Belgium dengan Dallara Super Formula SF19 (18 pusingan).

Kejuaran Toyota GR Velocity Esports menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, RM10,000, RM7,000, RM5,500 dan RM4,500 bagi lima pelumba terbaik. Bukan itu sahaja, hadiah tunai bernilai RM4,000, RM3,500, RM3,000, RM2,500 dan RM2,000 turut menanti pemenang di tempat ke-6, 7, 8, 9 dan 10. Peserta yang menduduki tempat ke-11 hingga ke-20 pula akan menerima RM500.

Tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali diadakan, Piala Asia GR Supra GT 2020 yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) pada Oktober 2020.

Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports Musim Ketiga ini turut akan menampilkan perlumbaan pertunjukkan melibatkan pelumba dan selebriti yang bersaing di dalam Toyota Vios Challenge dan Toyota Gazoo Racing Festival.

Previous post

Land Rover Defender Dilancarkan Di Singapura

Next post

Kia Stinger Kini Dalam Versi Facelift

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *