Motosikal / Lain Lain Roda

Percayakah Anda Motosikal Elektrik Ini Berasal Dari Indonesia?

Sebagai salah satu pasaran motosikal terbesar di dunia, Indonesia mempunyai jutaan motosikal pelbagai jenis. Dari moped ke superbike ke skuter yang diubahsuai secara ekstrem, semuanya ada di republik itu. Namun mungkin tidak ada satu pun yang seunik Katalis EV.1000 TheArsenale Special Edition.

Sekilas pandang, EV.1000 mungkin tampak seperti kapcai yang telah dimodifikasi supaya kelihatan seperti motosikal ‘steampunk’ namun seperti yang tertera pada namanya, jentera yang kelihatan aneh ini adalah sebuah motosikal elektrik yang direka oleh Katalis Company, sebuah studio reka bentuk yang berpengkalan di Jakarta.

Model edisi khas ini merupakan sebuah produk yang dilahirkan di bawah kerjasama antara Katalis dan TheArsenale, sebuah syarikat yang diasaskan oleh Patrice Meignan yang berfungsi sebagai platform e-dagang di mana pengeluar-pengeluar bebas boleh memasarkan produk mereka. Menurut Katalis, EV.1000 merupakan edisi terbaru selepas EV.500 yang diperkenalkan pada April tahun ini.

Jika EV.500 hadir dengan kemasan kelabu kusam, EV.1000 menampilkan skema warna hitam matte yang dipadankan dengan perincian berwarna oren bagi menghasilkan penampilan yang lebih bertenaga. Badannya diperbuat daripada logam manakala rangka dan lengan ayun diperbuat daripada aluminium 6061.

Nadi EV.1000 merupakan motor elektrik berkapasiti 1,000 watt yang mendapat bekalan tenaganya daripada bateri 48V 45Ah. Katalis berkata bahawa motosikal ini boleh memecut sehingga kelajuan 80 km/j dengan jarak tunggangan sejauh 90 km dengan satu cas penuh. Ia boleh menjadi kaedah pengangkutan yang paling ideal jika anda tinggal di bandar yang sibuk seperti Jakarta atau Bandung.

TheArsenale tidak menyatakan jika model ini ditawarkan dalam bilangan yang terhad ataupun sebaliknya. Namun jika anda berminat, bersedialah untuk membayar $9,999. Agak mahal namun ia mungkin berbaloi dalam jangka masa panjang. Bukan itu sahaja, anda juga akan mencuri tumpuan ramai dengan EV.1000 ini.

Previous post

Xiaomi Tawar Go-Kart Edisi Lamborghini

Next post

GoCar Memperluas Penawaran Langganan Mereka Untuk Lebih Banyak Pilihan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *