Berita Auto

Lamborghini Sian Roadster Hadir Dengan 819 hp

Lamborghini telah memperkenalkan Sian Roadster sebagai susulan kepada Sian versi coupe yang didedahkan pada September tahun lalu.

Menurut pengeluar supercar itu, hanya 19 unit akan dihasilkan, jauh lebih rendah berbanding 63 unit yang dihadkan untuk versi coupe tersebut. Ini menjadikan Sian Roadster lebih ‘rare’ dan pastinya lebih bernilai.

Seperti yang anda boleh bayangkan, versi ini tidak mempunyai bumbung tetapi masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk Sian seperti bahagian hadapan yang rendah dan splitter karbon yang bertindak sebagai perumah kepada lampu berbentuk Y.

Udara dialirkan melalui splitter dan bonet hadapan ke saluran pada bahagian sisi dan seterusnya keluar menerusi bahagian atas spoiler belakang yang hanya akan dinaikkan apabila kereta dipandu. Semua ini berlaku tanpa kehilangan kecekapan aerodinamik.

Sesuai dengan namanya yang bermaksud ‘kilat’, Sian Roadster menampilkan enjin 6.5-liter V12 yang digandingkan dengan motor elektrik 48 volt. Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 819 hp dan 760 Nm, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.

Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh motor tersebut disimpan di dalam supercapacitor yang dikatakan boleh menyimpan 10 kali lebih banyak tenaga elektrik berbanding bateri lithium-ion. Gabungan motor elektrik dan supercapicator hanya seberat 34 kg.

Tidak menghairankan yang kesemua 19 unit Sian Roadster telah pun ditempah. Para pemilik mempunyai kebebasan untuk menyesuaikan jentera masing-masing menerusi divisyen Centro Stile dan Ad Personam. Unit yang ditampilkan ini didatangkan dalam warna Blu Uranus dan rim berwarna Oro Electrum.

Previous post

Aston Martin KL Lancarkan Satu-Satunya Vantage AMR Malaysia Edition

Next post

Hyundai Dedah Reka Bentuk Elantra N Line

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *