Berita Auto

Perodua Catat Jualan 21,250 Kereta Pada Jun 2020

Langkah kerajaan untuk mengecualikan cukai jualan bagi kenderaan baharu nampaknya terbukti memberi manfaat kepada Perodua. Menurut syarikat itu, ia berjaya menjual kira-kira 21,250 unit kenderaan pada Jun 2020.

Angka tersebut mewakili jualan bulanan tertinggi Perodua setakat tahun ini dan hampir tiga kali ganda jualan bulan Mei.

“Kenaikan jualan kami akibat penurunan harga tersebut membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar pada masa yang sukar ini – pada Jun sahaja kami telah membelanjakan hampir RM500 juta untuk membeli komponen tempatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Kami merakamkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan, sokongan dan kesabaran mereka. Operasi kami kini berada di tahap kapasiti penuh dan kerja lebih masa maksimum,” tambah beliau.

Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18hb. Syarikat itu kembali beroperasi secara rasmi di seluruh negara pada 19hb Mei dan berjaya menjual 7,886 kenderaan sebelum akhir bulan tersebut.

Dengan mengambil kira jualan bulan lepas, jualan Perodua setakat tahun ini (YTD) kini berjumlah sekitar 74,000 unit.

Previous post

Cawangan UMW Toyota di PJ dan Cheras Diubah Jadi Pengedar

Next post

Pelancaran Kia K5 Generasi 5 Di AS Dan Melucutkan Nama 'Optima'

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *