Berita Auto

Maserati Levante Trofeo Launch Edition Kini di Malaysia

Maserati Levante Trofeo Launch Edition telah dilancarkan di Malaysia oleh pengedar rasmi jenama itu iaitu Naza Italia-Maserati.

Hanya 100 unit Launch Edition dibina untuk pasaran global dan Naza Italia berjaya membawa masuk tiga unit pada harga RM838,800 (harga sebelum duti tempatan dan cukai) dan termasuk spesifikasi penuh dan tawaran pilihan.

Ketiga-tiga unit tersebut didatangkan dalam warna yang berbeza iaitu Blu Emozione Matte, Giallo Modenese dan Rosso Magma dengan pakej Nerissimo. Sebagai tambahan, setiap unit mendapat lencana peribadi pada konsol tengah yang menampilkan logo Trident dan Trefeo serta perkataan “one of 100”.

Selain itu, ia juga hadir dengan roda aloi Orione 22 inci serta angkup brek berwarna biru, merah atau kuning supaya sepadan dengan warna kereta. Kemasan gentian karbon pada bahagian bampar, skirt sisi dan bonet memberikan sentuhan sporty pada jentera ini.

Ruang kabin pula menampilkan tempat duduk sport dengan upholsteri kulit asli Pieno Fiore dengan jahitan kontras dan logo Trofeo yang disulam pada perehat kepala.

Turut disertakan adalah kemasan gentian karbon ‘3D Touch’, karpet lantai eksklusif dengan logam Trofeo dan jam Maserati yang terletak di atas papan pemuka. Melengkapkan pakej Launch Edition ini adalah sistem audio Bowers & Wilkins 1,280 watt dengan 17 pembesar suara.

Secara mekanikalnya, Levante Trofeo Launch Edition dilengkapi dengan enjin twin-turbo 3.8-liter V8 dengan janaan 590 hp pada 6,250 rpm dan 730 Nm dari 2,500 hingga 5,000.

Dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Q4 Intelligent All-Wheel Drive dan Limited-Slip Differential, SUV berprestasi tinggi ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 304 km/j.

Dalam keadaan pemanduan normal, sistem Q4 Intelligent All-Wheel Drive itu menyampaikan 100% tork enjin ke roda belakang. Di atas permukaan
yang licin atau sekiranya berlaku kehilangan cengkaman pada roda belakang, pembahagian tork depan/belakang akan dibuah dari 0:100 kepada 50:50 dalam masa 150 milisaat.

Selain mod Normal, I.C.E., Sport dan Off Road, model ini turut didatangkan dengan mod pemanduan Corsa yang diprogramkan bagi memberikan penukaran gear yang lebih pantas, paras ketinggian suspensi udara yang lebih rendah, redaman Skyhook yang lebih sporty dan tetapan sistem pacuan yang dioptimumkan.

Bukan itu sahaja, campur tangan sistem Traction Control dan ESP turut dikurangkan apabila mod ini diaktifkan bagi memberikan nikmat pemanduan yang maksimum.

Previous post

100 Unit Honda Civic Type R Limited Edition Habis Dijual Dalam 4 Minit

Next post

PDRM Terima 425 Unit Honda Civic 1.8S

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *