Berita Auto

Proton Mula Serah Pelindung Muka Kepada ‘Frontliners’

Proton telah memulakan aktiviti penghasilan pelindung muka untuk barisan hadapan perubatan bagi membantu memerangi penyebaran virus COVID-19 di Malaysia.

Kumpulan pertama iaitu sebanyak 8,000 unit pelindung muka telah mula dihantar ke hospital-hospital di Kelantan dan seterusnya ke negeri-negeri Pantai Timur yang lain.

Kilang Proton Shah Alam yang tidak beroperasi sejak 18 Mac bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan untuk aktiviti pemasangan pelindung muka oleh kakitangannya.

Proses bermula dengan membuat rekaan dan menguji prototaip serta mendapatkan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan produk akhir memenuhi keperluan ditetapkan.

Pada masa yang sama, pasukan projek perlu mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk menghasilkan peralatan tersebut secara selamat dan cekap bagi memenuhi protokol kesihatan Covid-19.

Seramai 50 orang kakitangan terlibat dengan proses mengukur dan memotong pelbagai komponen yang diperlukan sebelum memasang produk akhir.

Dianggarkan 3,000 unit mampu dihasilkan dalam sehari, dan Proton menjangkakan aktiviti ini akan mengambil masa kira-kira 20 hari untuk menghasilkan 60,000 unit pelindung muka seperti yang disasarkan.

Sementara Proton bertanggungjawab dalam memasang dan menyerahkan peralatan tersebut, syarikat itu turut dibantu komuniti pembekalnya yang ingin terlibat sama dalam usaha ini.

Salah satu sumbangan yang diterima adalah daripada Pos Logistics Sdn Bhd yang menyumbang lebih daripada 2,000 kotak besar yang digunakan untuk membungkus pelindung muka tersebut dan memudahkannya untuk dipindahkan.

Pembekal komponen automotif, HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd turut terlibat dengan menyumbang sebanyak 1,500 kg polipropilena, salah satu komponen utama bagi bampar sebuah kereta, yang digunakan untuk menghasilkan bingkai pelindung muka tersebut.

Reka bentuk asal pelindung muka ini adalah sumbangan dari Universiti Teknologi MARA (UITM). Kemudian, pereka di PROTON Design membina bingkai peralatan ini berdasarkan maklum balas dari pengguna dan turut menambah slogan “STAY STRONG! We will get through this!”.

Previous post

Renault Relax Tawar Penjimatan ke atas Tayar dan Bateri

Next post

Isuzu MU-X Edisi Onyx Mungkin Bermakna Gen Ketiga Akan Datang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *