Berita Auto

Honda Fit 2020 Diperkenalkan Dengan 5 Versi Berbeza

Seperti yang dijanjikan, Honda Fit (juga dikenali sebagai Jazz) generasi keempat telah diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2019. Ia akan ditawarkan dalam lima varian berbeza bagi pasaran Jepun.

Honda Fit 2020

Selain reka bentuk lebih segar, Fit turut tampil dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikan pemanduan seharian lebih mudah.

Sebagai contoh, reka bentuk tiang A diubah bagi memberikan sudut pandangan yang lebih luas kepada pemandu. Rekaan ini juga dikatakan dapat menyerap impak perlanggaran dengan lebih baik.

Selain itu, papan pemuka Fit kali ini lebih rata manakala pengelap cermin pula terlindung dari penglihatan pemandu.

Fit juga mendapat tempat duduk hadapan baharu yang menawarkan tahap sokongan yang lebih tinggi. Ini bukan sahaja dapat menstabilkan badan, malah dapat mengurangkan rasa letih terutamanya bagi pemanduan jarak jauh.

Seperti sebelum ini, tempat duduk belakang mempunyai susun atur yang versatil. Ia juga lebih tebal dan besar untuk keselesaan penumpang dewasa.

Maklumat mengenai pilihan enjin masih belum didedahkan, namun Honda mengesahkan bahawa Fit boleh didapati dengan sistem hibrid dua motor baharu yang dikenali sebagai e:HEV.

Berikut adalah lima versi Fit yang akan ditawarkan di Jepun:

Basic: Versi paling asas dalam barisan model Fit, menawarkan reka bentuk yang ringkas.

Home: Ditawarkan untuk mereka yang mementingkan keselesaan. Tampil dengan upholsteri fabrik, kemasan kulit pada stereng dan pad lembut Prime Smooth.

Ness: Dengan gabungan warna menarik serta material kalis air dan sentuhan lembut pada papan pemuka, versi ini adalah untuk mereka dengan gaya hidup aktif.

Crosstar: Versi ini tampil dengan gaya crossover dengan rim 16 inci. Seperti Ness, Crosstar turut didatangkan dengan material kalis air dan material lembut pada papan pemuka.

Luxe: Versi premium ini dilengkapi dengan rim aluminium 16 inci, kemasan krom ala platinum serta upholsteri kulit eksklusif.

Dari segi keselamatan, Fit didatangkan standard dengan sistem Honda Sensing yang menggunakan kamera hadapan dan lapan pengesan sonar.

Previous post

Pandu Uji: Volkswagen Golf R-Line - Lengkap Dari Segala Segi

Next post

Mazda MX-30 - Crossover Elektrik dengan Pintu RX-8

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *