Pandu Uji

Pandu Uji: Volkswagen Golf R-Line – Lengkap Dari Segala Segi

Kalau berborak tentang hatchback mana yang paling hebat, nama Golf pastinya antara yang terawal disebut. Mana tidaknya, model ini telah berada di pasaran selama 45 tahun dan rasanya adil jika saya katakan yang Volkswagen tahu cara menghasilkan hatchback yang terus disukai ramai.

Volkswagen Golf R-Line Pandu Uji

Di Malaysia, barisan model Golf bermula dengan varian Golf R-Line (RM173,390), diikuti dengan model berprestasi tinggi iaitu Golf GTI (RM246,490) dan Golf R (RM304,490). Jika anda mahukan jentera yang mampu memberikan suntikan adrenalin, GTI dan R adalah pilihan yang tepat tetapi bersedialah untuk membayar harga yang tinggi.

Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang sederhana tetapi tetap bergaya dan seronok dipandu, Golf R-Line menawarkan semua ini pada harga yang jauh lebih rendah, dalam pakej yang berbaloi.

Secara asasnya, Golf R-Line adalah Golf 1.4 TSI yang didatangkan dengan pakej R-Line yang merangkumi bampar hadapan dan belakang R-Line, skirt sisi, spoiler belakang, logo R-Line pada jeriji dan dapra hadapan serta rim ‘Singapore’ berukuran 19 inci.

Lebih menarik lagi, varian ini turut mendapat lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, lengkap dengan lampu isyarat membelok berjujukan seperti yang terdapat pada GTI dan R.

Penampilannya mungkin tidak 100 peratus sama seperti kedua-dua varian tersebut, tetapi kehadiran pakej R-Line ini sekurang-kurangnya dapat menaikkan aura varian ‘entry level’ ini. Warna Turmeric Yellow ini memang memikat pandangan, tetapi secara peribadi saya lebih gemar warna yang lebih elegan seperti perak atau putih.

Bahagian kabin adalah seperti yang dijangka, ringkas dan tersusun. Walaupun rekaannya tidak semewah Mercedes-Benz A-Class, anda boleh rasakan bahawa setiap komponen dibuat dengan bahan berkualiti tinggi dan dipasang dengan kemas.

Selain upholsteri kulit Vienna dengan sulaman logo R-Line pada kerusi hadapan, anda juga mendapat sistem infotainmen Composition Media dengan skrin sentuh berukuran lapan inci. Antaramuka yang ringkas menjadikan sistem ini sangat mudah untuk digunakan, ditambah pula dengan ciri Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang wajib ada di dalam kereta zaman kini.

Satu lagi benda menarik adalah paparan info aktif TFT bersaiz 12.3 inci. Selain mempunyai grafik yang lebih cantik, paparan digital ini membolehkan anda memilih maklumat-maklumat tertentu untuk dipaparkan dengan hanya menggunakan butang yang terdapat pada stereng.

Dari segi prestasi, Golf R-Line adalah varian paling perlahan dalam barisan model Golf dengan 148 hp pada 5,000 rpm dan 250 Nm pada 1,500 rpm. Namun ‘perlahan’ bukan pilihan perkataan terbaik untuk menerangkan kemampuan sebenar hatchback ini.

Dilengkapi dengan transmisi DSG tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk memacu gandar belakang, Golf R-Line boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 8.2 saat sebelum ia mencapai kelajuan maksimumnya iaitu 216 km/j.

Jika dibandingkan dengan Mercedes-Benz A200 yang mempunyai kelebihan sebanyak 15 hp, Golf R-Line diakui lebih perlahan tetapi dengan perbezaan yang sangat kecil iaitu 0.2 saat dan 9 km/j. Bagi penulis, perbezaan ini tidak akan memberikan kesan yang ketara kepada prestasi pemanduan harian.

Walaupun tidak seganas enjin 2.0 TSI yang digunakan oleh Golf GTI dan R, enjin kecil ini masih mampu memberikan ledakan pecutan yang membuatkan sesiapa pun tertawa kecil. Dengan hamburan kuasa yang konsisten dari rpm rendah hingga pertengahan, ia boleh mencapai kelajuan melebihi had laju kebangsaan tanpa disedari.

Sebenarnya inilah berlaku yang kepada saya selama beberapa hari memandu Golf R-Line. Banyak kali saya terpaksa menjeling ke arah panel instrumen untuk memastikan yang saya tidak memandu pada kelajuan yang melampau. Apa boleh buat, kereta ini memang laju dan casisnya juga kukuh, jadi badannya tetap terasa mantap walaupun dilenjan.

Selain enjin berkuasa, satu lagi faktor yang memainkan peranan dalam prestasi model ini adalah transmisi yang cekap. Seperti yang dijangka, unit dwi-klac ini mampu menukar dari satu gear ke satu gear dengan cepat dan lancar walaupun ketika enjin sedang berusaha keras.

Tetapi jika anda tidak berhati-hati dengan kaki kanan anda, penggunaan bahan apinya boleh mencapai tahap yang agak tinggi. Saya mencatat sekitar 7 liter bagi setiap 100 km bagi pemanduan bercampur iaitu kawasan bandar dan lebuh raya. Jangan terkejut jika angka ini mencecah 10 liter malah lebih untuk pemanduan di bandar sahaja.

Nasib baik Golf R-Line didatangkan dengan empat mod pemanduan yang menawarkan karakter pemanduan yang berbeza. Selain Individual, Sport dan Normal, terdapat juga mod Eco yang paling sesuai diaktifkan sekiranya anda ingin menjimatkan minyak.

Dalam aspek pengendalian, model ini berada di tengah-tengah iaitu tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Sistem gantungan yang terdiri daripada topang MacPherson pada bahagian hadapan dan ‘multi link’ pada bahagian belakang jelas ditala untuk keselesaan tetapi pada masa yang sama ia sedia beraksi di selekoh.

Tidak dinafikan bahawa Golf R-Line mempunyai beberapa kekurangan dari segi pengendalian jika dibandingkan dengan BMW 118i atau sentuhan premium berbanding A200, tetapi bagi saya model ini menawarkan nilai hebat dan pakej yang lengkap yang sepadan dengan harganya.

Pembeli bukan sahaja mendapat sebuah hatchback yang bergaya dan pantas, malah cukup sesuai untuk dijadikan sebagai kereta harian untuk keluarga kecil. Ia boleh memuatkan empat orang penumpang dengan selesa dan anda juga tidak perlu berfikir dua kali untuk membawa kereta ini ke pasaraya kerana ia mempunyai but berkeluasa 380 liter yang boleh diperbesarkan sehingga 1,270 liter dengan melipat kerusi belakang.

Selain itu, aspek keselamatan Golf R-Line tidak kurang hebatnya dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan BA, Isofix serta Proactive Occupation Protection System. Risau tentang selepas jualan? Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan jaminan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun, serta servis percuma tiga tahun.

Spesifikasi Volkswagen Golf R-Line
Enjin: turbo empat silinder sebaris
Kapasiti: 1,395 cc
Kuasa: 148 hp @ 5,000 rpm
Tork: 250 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DSG tujuh kelajuan
0-100 km/j: 8.2 saat
Kelajuan maksimum: 216 km/j
Harga: RM173,390

Previous post

VIDEO: Toyota GR Supra 3000GT Concept Bakal Muncul di SEMA

Next post

Honda Fit 2020 Diperkenalkan Dengan 5 Versi Berbeza

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *