Berita Auto

Kia Grand Carnival 2017: MPV Pilihan Keluarga Besar

Masa berlalu begitu pantas. Terasa bagaikan baru semalam anda menimang anak pertama, sedar-sedar sahaja anda dikurniakan dengan empat lagi cahaya mata. Kini, timbul keperluan untuk mendapatkan sebuah kenderaan yang lebih besar dan ia haruslah cukup luas untuk seisi keluarga anda.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Anda boleh jadi seperti mereka dan membelanjakan wang untuk sebuah MPV terpakai yang diimport dari Jepun, atau lebih baik lagi, anda juga boleh membawa balik sebuah Kia Grand Carnival serba baharu yang diimport dari Korea untuk harga yang sama.

Kia Grand Carnival

Ya betul, para pembaca yang budiman sekalian. Grand Carnival kini kembali ke pasaran tempatan setelah kemunculan pertamanya di sini lebih 10 tahun lalu. Selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia, Naza Kia menaruh harapan tinggi terhadap model tersebut untuk meningkatkan jualan dan lebih penting lagi, mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen MPV.

Kia Grand Carnival

Dilancarkan pada Mac tahun ini, Grand Carnival ditawarkan dalam dua varian – 2.2 CRDI KX pada harga RM165,888 dan 2.2 CRDI EX pada harga RM185,888. Kedua-duanya menampilkan enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder CRDi dengan 193 PS dan 440 Nm tork, dan transmisi automatik enam kelajuan.

Kia Grand Carnival

Seperti kebanyakan model terkini Kia, Grand Carnival adalah hasil sentuhan Peter Schreyer, dengan jeriji ‘hidung harimau’ pada bahagian hadapan menjadi elemen paling ketara. MPV itu bukan sahaja lebih besar, malah lebih tampan berbanding model sebelum ini. Lampu halogen dengan lampu nyalaan siang LED adalah standard bagi kedua-dua varian, begitu juga dengan lampu belakang LED.

Kia Grand Carnival

Berbeza dengan varian KX, varian EX mendapat jeriji berwarna hitam dengan kemasan krom di sekeliling dan juga rel bumbung. Kedua-duanya didatangkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci, namun dengan kemasan berbeza – perak bagi KX dan “machined” bagi EX.

Kia Grand Carnival

Menjengah ke bahagian dalam, jelas bahawa fokus di sini adalah praktikaliti dan fungsi. Seperti yang dijangka, papan pemuka kenderaan ini bersih, kemas dan sederhana. Selain daripada kekurangan skrin sentuh yang lebih besar untuk sistem infotainmen, kabinnya boleh dikatakan sarat dengan kelengkapan. Varian KX yang kami uji didatangkan standard dengan kemasan kulit, kamera undur, stereng tilt dan teleskopik, Cruise Control dan sistem penyaman udara tiga zon.

Kia Grand Carnival

Berukuran 5,115 mm panjang, 1,985 mm lebar dan 1,740 mm tinggi, Grand Carnival dikatakan lebih besar berbanding pesaing-pesaingnya dari Jepun. Mempunyai jarak roda sepanjang 3,060 mm bermakna ia boleh memuatkan sehingga lapan orang penumpang dalam 2-3-3. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat ke bawah atau didirikan, manakala tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat masuk ke dalam lantai kenderaan.

Kia Grand Carnival

Bukan itu sahaja, masuk dan keluar daripada MPV ini juga mudah dengan adanya pintu gelongsor berkuasa di kedua-dua belah. Ia juga dilengkapi dengan “tailgate” elektrik yang boleh dibuka menggunakan butang di dalam atau kunci. Ini memudahkan kerja memuatkan atau memunggah bagasi atau apa sahaja barang yang dibawa.

Kia Grand Carnival

Enjin CRDi menunjukkan prestasi yang amat memuaskan sepanjang sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Janda Baik. Dengan empat penumpang (termasuk pemandu), enjin tersebut membuktikan yang ia adalah ‘jantung’ yang sesuai untuk kenderaan sebesar Grand Carnival dengan bekalan tork yang seperti tidak berkesudahan. Pendikit yang responsif turut membantu dalam menyalurkan kuasa ke roda secepat mungkin.

Kia Grand Carnival

Selain daripada berkuasa, enjin tersebut juga beroperasi dalam keadaan yang agak senyap dan tidak mengeluarkan bunyi bising seperti kebanyakan enjin diesel. Ataupun mungkin Kia telah menemui penyelesaian terbaik bagi menghalang bunyi bising dari memasuki kabin. Apa-apa pun, MPV ini mempunyai bahagian dalaman yang pasti menyenangkan penumpang.

Kia Grand Carnival

Grand Carnival mengekalkan sistem suspensi yang terdiri daripada jenis MacPherson di hadapan dan “multi-link” di belakang, sekaligus menghasilkan pemanduan berkualiti tinggi yang sesuai untuk kenderaan keluarga. Ia menyerap permukaan bumi yang tidak rata tanpa sebarang masalah dan pada masa yang sama, menyingkirkan ayunan yang tidak menyenangkan terutamanya ketika melalui jalan beralun. Respon stereng masih boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya ketika bergerak pada kelajuan tinggi.

Kia Grand Carnival

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, Grand Carnival sudah tentu tidak kekurangan ciri-ciri keselamatan. Kedua-dua varian didatangkan standard dengan enam beg udara, Electronic Stability Control, Hill-start Assist, ABS dan juga sensor parkir depan dan belakang.

Kia Grand Carnival

Tidak dinafikan yang Kia Grand Carnival mempunyai kelemahannya yang tersendiri namun jika dilihat pada sudut berbeza, ia merupakan produk berpotensi tinggi yang disasarkan kepada pelanggan yang mengutamakan ruang dan kebolehgunaan. Tidak mustahil ada yang menganggap harganya terlalu tinggi untuk sebuah Kia tetapi memandangkan ia diimport, ditambah lagi dengan pakej yang menarik, ia mungkin tawaran yang tidak seharusnya anda lepaskan.

Kia Grand Carnival

Spesifikasi Kia Grand Carnival
Enjin: Turbodiesel empat-silinder CRDi
Kapasiti: 2,199 cc
Kuasa: 193 PS @ 3,800 rpm
Tork: 440 Nm @ 1,750 – 2,750 rpm
Transmisi: automatik enam kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: Dari RM165,888

Previous post

Genesis GV80 Buat Kemunculan di New York Auto Show

Next post

Toyota Vios Kini Dengan 4 Ciri Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *