Berita Auto

Pengenalan MINI Seven Edition Baharu.

MINI Malaysia memperkenalkan 30 unit sahaja model reka bentuk pertama MINI 5 Door yang eksklusif ke pasaran Malaysia.

Jenama automotif premium kompak paling sofistikated di Malaysia, MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI Seven Edition Baharu, model reka bentuk pertama daripada generasi terkini 5 Door MINI. Menjadi ekspresi kepada karekteristik premium dan gaya tersediri, MINI Seven Edition direka sebagai penghormatan kepada model asal Austin Seven.

Ketika memperkenalkan ikon baharu itu ke pasaran Malaysia, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Warisan MINI Seven bermula sejak tahun 1959 apabila kereta ikonik itu mula diperkenalkan ke pasaran dunia sebagai Austin Seven dan cukup identikal dengan Morris Mini Minor. Hanya sepuluh tahun kemudian pada 1969, produksi kereta itu dipindahkan ke kilang baharu pada waktu itu, Longbridge, Birmingham di United Kingdom dan nama Mini menjadi jenama standard.”

31 tahun kemudian iaitu pada tahun 2000, BMW Group memperkenalkan semula jenama kereta kecil premium yang berjaya dengan nama MINI. MINI kini merevolusikan segmen automotif premium. Generasi pertama MINI memperkenalkan semula Seven pada tahun 2005 menerusi tiga varian enjin, kemasan yang selesa, mewah dan reka bentuk eksklusif.

Kini, MINI Seven Edition baharu menampilkan ciri reka bentuk yang eksklusif pada bahagian luaran dan dalamannya. Ia terus berpegang kepada asal-usul Britain, keseronokan pemanduan, karekter premium dan tarikan ekstrovert. Semua ini membuatkan MINI Seven Edition baharu menjadi satu fenomena luar biasa di dalam kesesakan jalan di bandar berbanding sebelumnya.

MINI 01

Reka bentuk bergaya dan ekspresif.

Ciri reka bentuk luaran yang eksklusif buat MINI Seven Edition Baharu dihasilkan untuk mencapai gayaan dan ekspresi menarik model MINI 5 Door. Paling pantas mendapat perhatian pastinya kemasan badan dalam warna biru MINI Yours, Lapisluxury Blue.

Kemasan bukan metalik ini merupakan tona berwarna biru yang paling intensif pernah digunakan ke atas kenderaan MINI. Kecerahan, intensiti dan kedalamannya diambil daripada proses pengeluaran  yang sofistikated di mana cat dan lapisan perlindungannya disembur ke atas permukaan kereta.

Kemasan cat yang diperoleh secara eksklusif jelas kontras dengan bumbung berwarna perak (Melting Silver) dan perumah cermin sisi MINI Seven Edition. Jalur pada bonet MINI Seven Edition baharu kemudian direka diharmonikan dengan warna bumbung dan perumah cermin sisi. Rim aloi ringan bersaiz 17 inci berwarna kelabu (Spectre Grey) daripada MINI Yours juga direka khas untuk reka bentuk model ini bersama rekaan dua spoke.

MINI Seven Edition Baharu turut dilengkapi lampu utama LED, satu ciri yang unik untuk segmen kereta kompak. Ia dikelilingi oleh gegelung lampu nyalaan siang LED. Teknologi LED ada digunakan pada lampu kabus.

Satu lagi perbezaan tersendiri mode kini ialah kekatup sisi yang dilekatkan dengan logo model ini. Dihasilkan daripada perkataan “Seven” dan nombor tujuh, logo MINI Seven juga boleh didapati pada kemasan sil pintu di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Ruang kabin bagaimanapun dihasilkan menerusi permukaan acuan tiga dimensi, kombinasi material dan warna berkualiti tinggi yang menyerlahkan paparan moden serta konsep operasinya. Fungsi dan ergonomik dioptimumkan oleh papan pemuka baharu pada kolum stereng dan butang kawalan yang berada di posisi baru.

Di dalam MINI Seven Edition Baharu, ambien premium ruang kabin diserlahkan melalui pilihan warna dan material untuk tempat duduk dan permukaan ruang dalaman yang kemudiannya dipadankan secara harmoni. Kemasan itu termasuklah tempat duduk sports yang menggunakan fabrik/kulit bersama kemasan Diamond Malt Brown yang eksklusif. Warna Malt Brown juga merupakan elemen yang direka khas untuk model ini. Ia dapat disesuaikan dengan sempurna untuk warna-warna lain yang digunakan pada MINI Seven Edition baharu, seperti permukaan ruang kabin yang dipasang dengan  kemasan Piano Black.

Satu lagi ciri reka bentuk model ini ialah stereng MINI Yours yang dibalut dengan kulit berkualiti tinggi “Walknappa” bersama jahitan tangan dan diperkuatkan dengan benang bersalut aluminium. Stereng menggunakan kemasan dengan corak union jack. Perehat tangan yang ergonomik itu boleh dilipat dalam pelbagai posisi bersama ruang penyimpanan barang bersepadu.

Ciri-ciri lain termasuklah MINI Seven Entry Strips dan MINI Seven Centre Instrument Ring Badging. MINI Seven turut menampilkan ciri Comfort Access dengan fungsi bukaan yang lebih mudah. Ini sekali gus membolehkan urusan membuka pintu, but dan menghidupkan enjin tanpa perlu menggunakan kunci kereta.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Enjin berkuasa dengan Teknologi MINI TwinPower Turbo.

MINI Seven Edition Baharu dikuasakan oleh generasi enjin terkini bersama Teknologi MINI TwinPower Turbo. Ia dipadankan dengan transmisi yang dibangunkan dan Teknologi MINIMALISM ekstensif yang membantu mencapai keseimbangan di antara keseronokan memandu dan penjimatan bahan api luar biasa.

Enjin 4 silinder bersesaran 2.0 liter mampu menghasilkan 192hp dan tork puncak 280Nm. MINI Seven Edition Baharu boleh memecut dari kedudukan pegun ke 100km/j dalam masa 6.8 saat. Biarpun begitu, penggunaan purata bahan api ialah 5.5 liter bagi setiap 100km.

Enjin 4 silinder pada MINI Seven Edition Baharu dipadankan dengan transmisi sports Steptronic 6 kelajuan. Transmisi ini menawarkan tempoh penukaran gear yang pantas, ia bukan sahaja mempunyai pemilih gear yang berbeza, malah paddle shift pada stereng.

Mode Pemanduan MINI diaktifkan melalui satu suis rotari di bahagian bawah tuil gear. Sebagai tambahan kepada mode MID standard, terdapat juga pilihan mode SPORT dan GREEN. Mode-mode itu akan mempengaruhi lengkok karekter pendikit, stereng dan penukaran kotak gear Steptronic.

Rangkaian ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu moden termasuklah Dynamic Stability Control dengan Dynamic Traction Control dan Electronic Differential Lock Control. MINI Seven Edition Baharu juga dilengkapi Performance Control, satu sistem yang menghalang sebarang masalah understeer sebelum ia berlaku.

Teknologi tercanggih.

MINI Seven Edition Baharu turut dilengkapi Navigation System Professional beresolusi tinggi bersaiz 8.8 inci yang memberikan pemandu reka bentuk 3D ketika memberi pandu arah apabila menuju ke destinasi. Ciri itu kemudian digabungkan dengan konsep paparan inovatif dan pelbagai fungsi navigasi, pejabat dan multimedia demi menawarkan keselesaan maksimum serta maklumat jalan baru ke satu-satu destinasi.

Memasukkan maklumat seperti destinasi ke dalam sistem navigasi boleh dibuat melalui tulisan tangan pada pad sentuh yang disepadukan dengan MINI Controller. Controller itu boleh diputar dan ditekan untuk mengakses pelbagai fungsi, menukar talaan dan melihat senarai. Kamera undur beresolusi tinggi juga ditawarkan untuk memaparkan pandangan belakang kereta yang jelas pada MINI Centre Instrument.

Satu lagi ciri utama pilihan pada MINI Seven Edition Baharu ialah Snap In Adapter. Ia merupakan satu sistem cantuman yang selamat dan stabil bersama fungsi pengecasan bersepadu untuk kebanyakan telefon pintar. Apabila disambung dengan aerial luar kereta, ia dapat memastikan penerimaan liputan yang terbaik sepanjang masa.

Aspek hiburan turut dipertingkatkan menerusi Sistem Bunyi Harmon Kardon HiFi yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara yang diletakkan di posisi terbaik di ruang kabin. Ia mampu menghasilkan kualiti audio yang sempurna seperti berada dalam konsert siaran lansung.

MINI Seven Edition Baharu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 tahun dan servis berjadual secara percuma. Harga anggaran MINI Seven Edition Baharu (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah RM253,888.

MINI 03

Previous post

Isuzu Malaysia Perkenal D-Max 3.0L Single Cab

Next post

GIVI Bersama Yuzy Racing Team Untuk Tahun Kelima

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *