Berita Auto

Pandu Uji: Toyota Fortuner 2.7 SRZ

Diperkenalkan kira-kira 12 tahun lalu, Fortuner adalah antara model yang agak ‘muda’ dalam barisan produk Toyota. SUV bersaiz besar itu lahir dari projek IMV (International Multi-purpose Vehicles atau Kenderaan Serbaguna Antarabangsa) dan berkongsi platform dengan trak pikap Hilux. Sejak mula dipasang di Shah Alam pada tahun 2005, lebih 20,000 unit Fortuner generasi pertama telah terjual.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Itu sedikit sebanyak tentang Fortuner yang pertama. Bagaimana pula dengan model generasi kedua? Dilancarkan sejak dua bulan lalu, Fortuner generasi kedua dilihat menampilkan imej yang jauh lebih premium berbanding model sedia ada. Ini adalah respon Toyota kepada maklumbalas yang diterima dari pelanggan serta trend pasaran.

Namun, perubahan Fortuner bukan sekadar pada rupa luaran. SUV itu juga telah melalui perubahan besar dari sudut mekanikal di mana segala aspek dan komponen direka untuk pengalaman pemanduan yang lebih selesa.

Toyota Fortuner

Dua varian ditawarkan untuk memenuhi cita rasa pembeli yang berlainan – Fortuner 2.4 VRZ yang didatangkan dengan enjin turbo diesel yang baru dibangunkan serta Fortuner 2.7 SRZ yang mempunyai enjin petrol yang sama seperti sebelum ini. Namun, ia telah menerima beberapa penambahbaikan termasuk sistem Dual VVT-i untuk lebih kecekekapan dan tahap respon yang lebih tinggi.

Fortuner 2.7 SRZ yang kami cuba ini merupakan varian yang paling lengkap dan dijual pada harga RM199,900, RM13,000 lebih mahal dari varian 2.4 VRZ. Selain dari enjin, ia mempunyai beberapa ciri yang berbeza seperti lampu projektor dwi-LED dengan fungsi nyalaan auto, lampu nyalaan siang LED, ‘puddle lamps’ pada bahagian bawah pintu dan juga lampu belakang LED.

Toyota Fortuner

Walaupun pada dasarnya ia mempunyai platform trak pikap, Fortuner mempunyai ruang kabin yang sama dengan kereta sedan dari segi kualiti dan keselesaan. Material sentuhan lembut dipadankan dengan hiasan metalik serta kemasan kayu untuk suasana yang lebih mewah manakala ciri ergonomik tempat duduk dan roda stereng membuatkan penulis terasa seperti memandu kereta biasa. Menurut Toyota, ini adalah hasil tangan Ketua Eksekutif Jurutera iaitu Hiroki Nakajima yang mempunyai kepakaran dalam bidang kenderaan penumpang.

Dengan jarak roda sebsar 2,745 mm, Fortuner sesuai untuk mereka yang berkeluarga. Ia mempunyai tiga baris tempat duduk dan boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang pada satu-satu masa. Walaupun ia agak tinggi, masuk dan keluar kenderaan menjadi senang dengan adanya ‘side step’ dan hendal pemegang di tiang tengah.

Toyota Fortuner

Kerusi di barisan kedua boleh dilipat dengan hanya satu sentuhan, jadi memasuki barisan ketiga menjadi agak mudah. Untuk ruang muatan yang lebih besar, kerusi barisan kedua boleh dilipat secara 60:40, manakala kerusi di barisan ketiga boleh dilipat 50:50 dan digantung di bahagian tepi kabin dengan mudah. Dalam kehidupan sebenar, Fortuner bukan sahaja untuk keluarga, malah untuk mereka dengan gaya hidup aktif seperti berbasikal.

Untuk mereka yang sering membawa keluarga, Fortuner menyediakan ruang kabin yang luas dan lengkap dengan pelbagai ciri-ciri untuk keselesaan sepanjang perjalanan seperti lubang penyaman udara untuk penumpang baris kedua dan ketiga. Selain dari ruang storan dan pemegang cawan, tiga soket 12V yang boleh digunakan untuk mengecas telefon juga disediakan di serata kabin.

Toyota Fortuner

Untuk hiburan, Fortuner mempunyai enam pembesar suara dan sistem audio dengan pemain DVD, USB/AUX/Bluetooth dan juga sistem pengenalan suara. Pelanggan yang mahu menghiburkan anak-anak mereka dengan ‘wayang mini’ dalam kenderaan boleh mendapatkan skrin 10.2 inci di pusat aksesori UMW Toyota Motor.

Beralih pula kepada pemanduan. Sebaik sahaja butang penghidup enjin ditekan, enjin 2.7 liter empat silinder tersebut mengeluarkan deruman yang agak kuat, sebelum menjadi lebih tenang pada peringkat melahu. Agak mengagumkan kerana walaupun enjin tersebut jelas kedengaran dari luar, keadaan di dalam kabin agak senyap, menandakan kualiti penebatan yang baik. Pengalaman Nakajima dalam bidang pembikinan kereta jelas banyak membantu.

Toyota Fortuner

Walaupun mempunyai berat melebihi 2,000 kg, Fortuner tidak mempunyai masalah untuk memecut dari keadaan pegun. 166 PS dan tork sebanyak 245 Nm yang dibekalkan nyata cukup untuk menggerakkan SUV besar itu. Kotak gear automatic enam kelajuan yang dipadankan ditala khas untuk pecutan yang lebih baik pada kelajuan rendah dan kelajuan ‘cruising’ yang lebih efisyen. Bergantung pada mood, anda boleh menekan samada butang mod ECO ataupun Power jika anda mahukan ia lebih responsif.

Di atas jalan yang lebih terbuka, Fortuner seronok dipandu pada kelajuan sekitar 120 km/j dan ke atas. Ngauman enjin berada pada tahap yang begitu baik dan hanya kedengaran dengan jelas apabila pendikit ditekan dan jarum RPM melebihi 3,000. Tayar Bridgestone Dueler Highway Terrain yang dipasang tidak terlalu bising pada kelajuan tinggi dan sesuai digunakan di atas permukaan jalan baik di bandar mahupun lebuh raya.

Toyota Fortuner

Selain kestabilan, sistem penggantungan yang terdiri dari ‘double wishbone’ hadapan dan ‘coil spring’ belakang juga menawarkan keselesaan terutamanya apabila berhadapan dengan jalan berlubang dan tidak rata. Permukaan-permukaan yang tidak rata ‘diserap’ dengan baik dan sebarang gegaran dari bawah dikurangkan dengan adanya tempat duduk yang begitu selesa.

Respon yang diberi oleh stereng hidrauliknya juga boleh dirasakan, terutamanya ketika mengambil selekoh dengan laju. Dibantu pula oleh Active Traction Control (A-TRC) yang bertujuan memaksimumkan daya geseran tayar, Fortuner membuktikan kemampuannya sebagai SUV serba boleh.

Toyota Fortuner

Bagaimanapun, persaingan harga dengan SUV tujuh tempat duduk yang lain meletakkan Fortuner sebagai model yang termahal pada harga bermula dari RM186,900 untuk varian 2.4 VRZ dan RM199,900 untuk varian 2.7 SRZ. Namun dengan prestasi mantap yang ditunjukkan serta tahap kualiti yang sinonim dengan jenama Toyota, harga yang disebut rasanya tidak keterlaluan. Apatah lagi ia juga didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Spesifikasi Toyota Fortuner 2.7 SRZ AT 4×4
Enjin: 4 silinder, DOHC Dual VVT-i
Kapasiti: 2,694cc
Kuasa: 166PS @ 5,200rpm
Tork: 245Nm @ 4,000rpm
Transmisi: 6 kelajuan, automatik
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM199,900

 

Previous post

Continental Tyre Malaysia Lancar Tayar Trak Generation 3

Next post

Crossover Atau SUV, Semuanya Adalah Tentang Platform

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *