Berita Auto

Ulasan Ringkas Perodua Bezza

Beberapa hari sebelum pelancaran rasmi Bezza, gohedgostan.com bersama-sama dengan sekumpulan media yang lain diberi peluang untuk menguji sedan pertama Perodua tersebut di litar uji pandunya di Rawang.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_20160610

Oleh kerana kekangan masa dan jumlah media yang agak ramai pada hari itu, gohedgostan.com hanya sempat mencuba dua dari lima varian Bezza yang ditawarkan iaitu varian 1.0 Standard G manual dan juga 1.3 Premium X automatik. Untuk varian teratas iaitu 1.3 Advance, kami akan cuba untuk mendapatkan unit pandu uji dari Perodua untuk ulasan yang lebih menyeluruh.

Mungkin ada yang belum tahu bahawa Bezza (disebut ‘Beza’) adalah produk transformasi kedua Perodua selepas Axia. Menggunakan platform yang sama dengan hatchback tersebut, Bezza juga diiktiraf sebagai kenderaan berstatus ‘Energy Efficient Vehicle’ (EEV) atau ‘Kenderaan Cekap Tenaga’. Namun, tidak seperti Axia, Bezza adalah produk pertama Perodua yang direka 100% oleh anak tempatan.

Perodua Bezza

Pertama kali melihat Bezza tanpa sebarang pelekat penyamaran, jujur berkata DNA reka bentuk Perodua jelas terpampang terutamanya pada bahagian hadapan. Di belakang pula, Bezza menampilkan rekaan lampu berbentuk ‘C’, dengan sebatang bar krom sebagai penghubung. Tiada tip ekzos seperti yang terdapat pada Myvi namun cubaan Perodua harus diberi pujian. Apatah lagi ini kali pertama syarikat itu mereka kereta yang ada “punggung”.

Menjengah ke bahagian dalam, kabinnya terasa luas dan terbuka walaupun pada hakikatnya Bezza kelihatan kecil dari luar. Secara keseluruhan, rekaan papan pemuka adalah kemas dan tidak berserabut dengan tiga tombol di bahagian tengah dan kemasan hitam berkilat dari hujung ke hujung (untuk varian Premium X dan Advance sahaja). Seperti yang dijangka, ruang kabin varian Standard G pula adalah lebih asas, kena dengan harganya.

Perodua Bezza

Walaupun mempunyai ruang bonet yang besar iaitu 508 liter (lebih besar dari mana-mana pesaing segmen A yang ada), tempat duduk belakang tidak terjejas. Kerusinya tidak terlalu tegak dan masih selesa untuk diduduki oleh orang dewasa dengan ketinggian purata Asia. Ruang kaki dan kepala juga memuaskan.

Beralih ke litar pandu uji Perodua. Litar yang baru siap dibina ini menggabungkan elemen-elemen yang terdapat pada jalan raya sebenar seperti laluan lurus, bahagian mendaki, selekoh menuruni bukit serta bahagian-bahagian jalan yang kasar dan tidak rata khas untuk menguji kestabilan dan aspek NVH (noise, vibration and harshness) kenderaan. Pendek kata, ia merupakan persekitaran yang sangat sesuai untuk menguji Bezza.

Perodua Bezza

Varian pertama yang diuji adalah 1.0 Standard G versi manual, yang merupakan varian paling murah dalam keluarga Bezza dengan harga RM37,300. Ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah kerana walaupun dengan tiga orang penumpang, enjin 1KR-VE yang dilengkapi teknologi Variable Valve Timing (VVT-i) itu masih memberikan pecutan yang baik. Pun begitu, varian ini dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang masih belum berkeluarga.

Ketika melalui bahagian jalan yang tidak rata pada kelajuan 60 hingga 70 km/j, gegaran boleh dirasakan dengan jelas namun masih boleh diterima. Bunyi angin juga jelas kedengaran, namun ini semua sudah di dalam jangkaan.

Perodua Bezza

Walaupun dipadankan dengan transmisi automatic, varian 1.3 Premium X yang diuji terasa bertenaga dengan pecutan memberasangkan. Di bahagian lurus, varian tersebut boleh mencecah sehingga 140 km/j dan masih terasa stabil. Unit 1.3 liter 1NR-VE baharu yang dimuatkan dengan teknologi seperti dwi VVT-i dan suntikan bahan api memberikan perbezaan yang agak ketara berbanding dengan model-model 1.3 yang sedia ada.

Dari sudut pengendalian, tidak banyak perbezaan di antara kedua-dua varian, di mana stereng kuasa elektrik adalah standard. Tindak balas yang diberikan tidaklah mengagumkan namun masih mampu memberikan rasa pemanduan yang menyeronokkan. Perbezaan di antara kedua-dua varian terletak pada jenis tayar yang digunakan, di mana varian 1.3 menggunakan tayar Bridgestone Ecopia manakala varian 1.0 menggunakan tayar Silverstone Kruizer1 yang dirasakan sedikit bising.

Perodua Bezza

Sekian sahaja ulasan ringkas kami tentang Perodua Bezza. Nantikan pula ulasan kami tentang varian 1.3 Advance yang diiktiraf lima bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP.

Spesifikasi Perodua Bezza 1.0 Standard G Manual
Enjin: 4 silinder, DOHC 12 injap
Kapasiti: 9987cc
Kuasa: 67hp @ 6,000rpm
Tork: 91Nm @ 4,400rpm
Transmisi: 5 kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM37,300

Perodua Bezza

Spesifikasi Perodua Bezza 1.3 Premium X Automatik
Enjin: 4 silinder, DOHC 16 injap
Kapasiti: 1,3297cc
Kuasa: 91hp @ 6,000rpm
Tork: 121Nm @ 4,000rpm
Transmisi: 4 kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM44,800

 

Previous post

Mengapa Memanasan Enjin Begitu Penting ...... Walaupun Kereta Baharu

Next post

Kejayaan Mutlak Pertama Buat Amstutz dan Kujala Dalam Lamborghini Blancpain Super Trofeo Eropah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *