Pandu Uji

Pandu Uji: Toyota Harrier Generasi Ke-4 (RM249,706)

Toyota mungkin bukan jenama pertama yang terlintas di fikiran apabila berbicara tentang kereta premium, namun ini tidak bermakna ia tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan produk yang mampu menarik perhatian pembeli dari golongan kelas atas.

Di Malaysia, anda boleh lihat model-model Toyota yang berharga ratusan ribut seperti Alphard dan Vellfire begitu laku di pasaran seperti nasi arab ‘lamb shank’ Chef Ammar. Itu untuk segmen MPV, kalau segmen SUV pula, Harrier dilihat antara pilihan utama mereka yang mahukan sesuatu yang premium tanpa perlu mengeluarkan belanja yang terlalu tinggi.

Bermula 2018, Harrier mula ditawarkan ke pasaran tempatan menerusi saluran rasmi. Dengan reka bentuk segar yang kelihatan lebih sesuai untuk pembeli muda, enjin pengecas turbo dan pakej waranti lima tahun, UMW Toyota Motor langsung tidak mempunyai masalah untuk menjual model generasi ketiga itu.

Harrier generasi keempat pula dilancarkan di Malaysia pada April 2021, kurang setahun selepas pelancarannya di peringkat global. Reka bentuk ‘muda’ yang dibawakan oleh model sebelum ini diperhalusi lagi bagi memberikannya imej yang lebih menawan dan nampak mahal. Malah, rata-rata mengatakan ia mempunyai penampilan yang tidak ubah seperti sebuah Lexus.

Toyota Harrier - Pandu Uji

Namun begitu, ada satu ramuan penting yang tertinggal pada model baharu ini iaitu enjin turbo 2.0-liter empat silinder 8AR-FTS. Toyota mengambil keputusan untuk menggantikanya dengan enjin yang lebih baru iaitu enjin Dynamic Force 2.0-liter empat silinder yang dikenali dengan kod nama M20A-FKS.

Turut digunakan oleh beberapa model Toyota dan Lexus, enjin berkenaan mungkin tidak mempunyai pengecas turbo dan kuasanya lebih rendah, namun prestasinya lebih lancar dan mudah untuk dikawal oleh mereka lebih gemar memandu secara kasual. Ya, enjin sebelum ini lebih berkuasa namun karakternya dirasakan sedikit agresif untuk sebuah MPV premium.

Enjin Dynamic Force ini dirasakan lebih sesuai untuk majoriti pembeli Harrier yang rata-ratanya lebih mengutamakan pemanduan yang santai. Ia tidak perlahan namun caranya menyampaikan kuasa lebih lancar dan tenang, tidak terburu-buru seperti enjin turbo. Pendikit juga menunjukkan tindak balas yang agak cepat kepada input yang diberikan.

Ini sudah tentu berkait rapat dengan transmisi jenis Direct Shift CVT yang ditala khusus untuk mendapatkan pecutan yang responsif, terutamanya ketika kenderaan hendak mula bergerak . Ini dilakukan dengan menggunakan sesuatu yang dipanggil sebagai ‘launch gear’, sebuah gear mekanikal yang ditugaskan untuk membantu Harrier memecut dengan lebih lancar.

Toyota Harrier - Pandu Uji

Kehadiran launch gear membuatkan SUV ini rasa laju, walaupun sebenarnya ia tidaklah begitu laju jika hendak dibandingkan dengan Harrier 2.0T. Kadang kala, anda perlu kerjakan pendikit untuk memotong kenderaan lain di lebuh raya, namun ini tidak akan menjejaskan penggunaan bahan api dengan signifikan.

Dalam perjalanan ke Johor Bahru tempoh hari, penulis masih boleh mendapat bacaan penggunaan bahan api sekitar 14 km/l walaupun dengan gaya pemanduan yang tidak ekonomikal. Boleh tahan juga, namun apa yang betul-betul menarik perhatian penulis adalah casisnya yang mantap.

Ini sudah dijangka kerana seperti Camry, RAV4, Lexus ES dan beberapa lagi model Toyota/Lexus bersaiz sederhana dan penuh, Harrier dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K. Tidak perlu diperkatakan lagi yang TNGA mempunyai reputasi baik dalam aspek pengendalian.

Walaupun bergerak pada kelajuan yang jauh melebihi had laju kebangsaan, badan Harrier tetap terasa stabil. Namun begitu, sistem suspensinya jelas ditala untuk keselesaan dan bukannya kelajuan kerana ia dirasakan sedikit lembut dan tidak sekeras model-model dari pengeluar Eropah.

Toyota Harrier - Pandu Uji

Cuma agak menghairankan kerana bunyi angin pada tingkap (atau mungkin cermin sisi) sebelah pemandu sudah jelas kedengaran pada kelajuan sekitar 100 km/j. Namun selain itu, bunyi tayar dan sebarang bunyi yang terhasil semasa melalui jalan berlubang disembunyikan dengan berkesan, sekaligus menghasilkan suasana yang senyap di dalam kabin.

Gandingan enjin Dynamic Force dan platform TNGA boleh dikatakan berkesan dalam memberikan Harrier karakter pemanduan yang  sesuai untuk mereka yang inginkan sebuah SUV premium dengan dinamik pemanduan yang baik. Namun untuk mereka yang mengutamakan kuasa semata-mata, ini bukanlah pilihan yang tepat.

Bercakap tentang premium, tidak syak lagi Harrier mempunyai penampilan yang melayakannya berada dalam kelas itu. Rekaan lampu depan yang lebih tirus, serta lampu belakang yang melintang penuh adalah antara beberapa elemen reka bentuk yang membuatkan ia kelihatan seperti sebuah SUV yang dihasilkan oleh Lexus.

Diakui, ruang dalamannya kelihatan biasa sahaja dengan pilihan warna yang membosankan dan bingkai skrin sistem infohibur yang tebal namun apa yang penting, material yang digunakan seperti upholesteri tempat duduk, balutan papan pemuka, serta tombol dan butang kawalan terasa berkualiti.

Secara ringkasnya, ia tipikal Toyota dalam erti kata kualiti dan ketahanan namun ini tidak bermakna ia tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh dikategorikan sebagai mewah. Sebagai contoh, bumbung panoramik merupakan jenis electrochromic  yang bermakna ia boleh dimalapkan dengan hanya menekan satu butang.

Selain itu, cermin pandang belakangnya dilengkapi dengan paparan digital yang membolehkan pemandu melihat bahagian belakang kenderaan sekiranya cermin itu dihalang oleh objek yang tinggi. Canggih, bukan? Tetapi agak mengecewakan kerana imej dari kamera undur tidak begitu berkualiti.

Ciri-ciri lain yang ada pada Harrier termasuk fungsi ventilasi dan pemanas pada tempat duduk depan, sistem pendingin hawa dwi-zon dengan fungsi pengionan udara, paparan head-up dan tailgate kuasa. Sistem infohiburnya menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto (kedua-duanya menggunakan sambungan kabel), dan anda juga mendapat pengecas wayarles Qi.

Konklusi

Penulis berpendapat Harrier mempunyai penampilan dan kelengkapan yang sepadan dengan harganya namun model itu perlu menghadapi saingat sengit daripada model-model seperti Volvo XC40 Recharge dan Mazda CX-8 yang mempunyai kekuatan masing-masing. Misalnya, harga kedua-dua model itu lebih rendah berbanding Harrier.

Namun senarai kelengkapannya yang cukup panjang secara tidak langsung menjustifikasikan perbezaan harga Harrier dengan pesaing-pesaingnya. Pendek kata, anda dapat apa yang anda bayar dan dengan Harrier generasi keempat ini, banyak yang anda dapat untuk harga bawah RM250,000.

Toyota Harrier - Pandu Uji

Spesifikasi Toyota Harrier
Enjin: Dynamic Force, empat silinder DOHC
Kapasiti: 1,987 cc
Kuasa: 171 hp @ 6,600 rpm
Tork: 203 Nm @ 4,400 rpm
Transmisi: Direct-Shift CVT
0-100 km/j: 9.7 saat
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM249,706.50

Previous post

Moto Morini X-Cape 650 Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Muzium Mazda Siap Diubahsuai Sepenuhnya Dengan Lawatan Maya Tersedia Dalam Talian

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *