Berita Auto

Toyota Harrier Generasi Ke-4 Masuk Pasaran Malaysia

Toyota Harrier generasi keempat telah tiba di pasaran Malaysia, setahun selepas ia diperkenalkan di peringkat antarabangsa. Diimport sepenuhnya dari Jepun, SUV ini dijual pada harga RM249,706.50, tanpa cukai jalan dan insurans.

Dibangun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-K, Harrier mempunyai struktur badan lebih kukuh dengan titik graviti lebih rendah yang menjadikannya lebih selesa dan lincah. Ia 15 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar dan 30 mm lebih rendah berbanding model generasi ketiga, manakala tapak roda bertambah dari 2,660 mm kepada 2,690 mm.

Wajah depan Harrier lebih menonjol dengan lampu utama Bi-LED baharu yang lebih tajam dan lebar, serta lampu nyalaan siang berbentuk L. Bahagian belakang pula kelihatan bersih dan ringkas, dihiasi hanya dengan lampu LED dan muncung ekzos berkembar untuk tampil sporty. Rim aloi 18 inci melengkapkan penampilan premiumnya.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit, ciri pelarasan kuasa 12 arah untuk kerusi pemandu, tiang stereng yang dinaikkan secara automatik untuk memudahkan pemandu keluar masuk, paparan Head-Up Display (HUD) dan sistem pendingin hawa dua zon automatik dengan teknologi nanoe X.

Sistem infotainmen pula merangkumi skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan slot USB pada bahagian depan dan belakang. Turut disertakan adalah bumbung matahari elektro-kromatik yang boleh digelapkan melalui sentuhan butang kawalan, tailgate yang boleh dibuka menerusi sensor gerak kaki, serta cermin pandang belakang digital.

Tidak seperti model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin turbo, Harrier baharu mendapat enjin Dynamic Force (M20A-FKS) 2.0-liter empat silinder DOHC dengan Dual VVT-i yang menghasilkan 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm pada 2,800 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Direct Shift CVT yang memacu roda hadapan.

Menurut Toyota, kotak gear tersebut didatangkan dengan fungsi Sequential Shiftmatic yang membolehkan penukaran gear dilakukan dengan lancar, di samping tiga mod pemanduan iaitu ECO, Normal dan Sport.

Dari segi keselamatan, Harrier didatangkan standard dengan Toyota Safety Sense (TSS) dengan ciri-ciri seperti Pre-Crash System, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Lane Tracing Assist, Dynamic Radar Cruise Control, dan Adaptive High-Beam System.

Ciri-ciri lain seperti Tyre Pressure Monitoring System, Hill Start Assist, Electronic Parking Brake dengan Auto Brake Hold, Emergency Stop Signal, Vehicle Stability Control, Traction Control, dan tujuh beg udara turut disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, Harrier ditawarkan dalam lima warna iaitu Steel Blonde Metallic; Slate Grey Metallic; Precious Black; Dark Blue Metallic; dan warna khas White Pearl Crystal Shine.

Previous post

Mitsubishi Motors Malaysia Lancar Triton Athlete

Next post

Kereta Suzuki Sedia Untuk Diniaga Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *