Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design Kini Di Malaysia

Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan XC40 Recharge T5 R-Design baharu, sekaligus mengembangkan barisan model hibrid plug-in (PHEV) mereka.

Mulai sekarang, semua model Volvo yang mempunyai teknologi elektrifikasi, sama ada PHEV atau EV, akan menggunakan nama ‘Recharge’. Jadi, pastikan anda tidak terkeliru dengan XC40 Recharge P8 yang merupakan model elektrik sepenuhnya.

Dilancarkan secara dalam talian menerusi laman Facebook rasmi Volvo Car Malaysia, XC40 Recharge T5 tampil dengan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dengan 180 hp dan 265 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 82 hp dan 160 Nm. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 262 hp pada 5,800 rpm dan 425 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, XC40 Recharge T5 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat. Seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik pada 180 km/j. Penggunaan bahan api pula adalah 2.2 liter bagi setiap 100 km.

Untuk perbandingan, XC40 T5 AWD yang dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 252 PS dan 350 Nm hanya memerlukan 6.4 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j. Ia dilancarkan di Malaysia pada 2018.

Antara teknologi yang disertakan pada XC40 Recharge T5 termasuklah ciri-ciri keselamatan dan bantuan pemandu seperti sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road Protection And Mitigation serta Cross Traffic Alert dengan sokongan brek. Selain itu, terdapat lima mod pemanduan iaitu Hybrid, Pure, Power, Off-Road dan Individual.

Dipasang di Malaysia, model terbaharu ini boleh didapati dalam lima warna iaitu Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM241,997.04 selepas pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. Tanpa pengecualian cukai jualan tersebut, model ini berharga RM255,888.

Previous post

Alfa Romeo Memperkenalkan Kereta Formula 1 2021 Mereka - The C41

Next post

Geely-Volvo Melihat Perikatan Dengan Lynk & Co Suatu Kemenangan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *