Pandu Uji

Pandu Uji: Mercedes-Benz GLE 450 4Matic Versi CKD

Jika anda perasan, segmen SUV mewah di Malaysia didominasi oleh model-model yang dipasang secara tempatan iaitu BMW X5, Mercedes-Benz GLE dan Volvo XC90. Bukan itu sahaja, ketiga-tiganya juga ditawarkan dengan trenkuasa hibrid – sama ada dalam bentuk plug-in (PHEV) atau hibrid ringkas (mild hybrid). Ini secara tidak langsung menjadikan persaingan lebih sengit.

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk memandu uji salah satu pesaing dalam segmen ini iaitu Mercedes-Benz GLE 450 4Matic. Jika anda masih ingat, model ini asalnya ditawarkan dalam versi import CBU sekitar Mac 2019. Pada Mei 2021, versi CKD yang dipasang di kilang pemasangan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) di Pekan, Pahang muncul dengan spesifikasi yang disemak semula serta harga yang lebih rendah.

Sudah tentu, reka bentuk adalah subjektif kepada selera masing-masing. Apa yang nampak cantik pada pandangan mata penulis, mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja bagi orang lain. Namun, tidak boleh dinafikan yang penampilan GLE sangat menarik perhatian. Jika X5 tampil agresif dan XC90 pula kelihatan begitu elegan, SUV Mercedes-Benz ini boleh dikatakan berada tepat di tengah-tengah.

Elemen-elemen seperti bampar AMG Line, rekaan lampu depan dan belakang yang tajam dan bersegi, serta gerbang roda belakang yang lebar sedikit sebanyak menyuntik elemen sporty pada GLE. Sementara itu, penggunaan garisan-garisan lembut di sekeliling badannya membuatkan ia kelihatan segak seperti seorang eksekutif muda yang memakai sut mahal.

Mercedes-Benz GLE 450 Pandu Uji

Sejujurnya, penulis tidak begitu berminat dengan rekaan ruang kabin kerana penggunaan corong udara berbentuk petak (dan bukannya bulat seperti yang digunakan oleh model-model sedan Mercedes) membuatkannya kelihatan agak membosankan.

Walaupun begitu, kualiti setiap material yang digunakan, semua butang dan tombol sangat-sangat memuaskan dan sejajar dengan prestij tinggi yang dimiliki oleh jenama Mercedes-Benz. Cuma sayangnya, upholsteri kulit Nappa pada versi CBU telah digantikan dengan kulit buatan Artico dan mikrofiber Dinamica pada versi CKD ini.

Jelas sekali, ini adalah antara beberapa langkah pengurangan kos yang diambil oleh MBM bagi membolehkan GLE bersaing secara lebih kompetitif dengan X5 dan XC90. Penulis secara peribadi tidak rasa yang kebanyakan pembeli akan merungut tentang perkara ini.

Biarpun kini dipasang secara tempatan, GLE tetap tampil dengan senarai kelengkapan yang cukup tinggi. Untuk sistem infohibur, terdapat dua buah paparan berukuran 12.3 inci dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan fungsi kawalan arahan suara, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Burmester dengan 13 pembesar suara yang sangat membantu dalam mengurangkan stres apabila terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.

Mercedes-Benz GLE 450 Pandu Uji

Selain itu, terdapat pelbagai lagi ciri yang boleh menjadikan suasana di dalam kabin lebih selesa baik untuk pemandu dan penumpang depan, mahupun penumpang belakang. Ini termasuk fungsi pelarasan kuasa untuk tempat duduk depan dan belakang, fungsi memori dan sokongan lumbar untuk tempat duduk depan, bumbung panoramik, penghadang cahaya matahari dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, sistem pendingin hawa empat zon memastikan segenap pelusuk ruang kabin sentiasa nyaman walaupun ketika cuaca panas. Pada waktu malam pula, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna menjadikan suasana lebih tenang dan santai.

Satu lagi langkah pengurangan kos yang diambil oleh MBM melibatkan sistem keselamatan, di mana ciri Lane Centring Assist dikeluarkan dari model CKD ini. Namun begitu, ia masih mendapat Adaptive Cruise Control, Blind-Spot Monitoring, Lane-Keeping Assist dan Autonomous Emergency Braking yang boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal.

GLE 450 mempunyai berat keseluruhan sekitar 2,220 kg namun cara ia bergerak dan bertindak balas dengan input daripada pemandu tidak ubah seperti crossover kompak. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada prestasi yang mengagumkan ini. Pertama sekali, enjin yang cukup berkuasa.

Mercedes-Benz GLE 450 Pandu Uji

Di bawah penutup bonet, terdapat enjin petrol 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan pengecas turbo dan sistem hibrid ringkas 48 volt. Sistem ini direka khusus untuk membantu mengurangkan beban enjin tersebut terutamanya ketika kenderaan mula memecut. Hasilnya, pecutan terasa lebih cepat dan mudah walaupun pada hakikatnya berat jentera ini melebihi dua tan.

Trenkuasa ini juga dilengkapi dengan sistem Integrated Starter Generator (ISG) yang membolehkan kenderaan seolah-olah ‘meluncur’ di atas jalan raya, dengan enjin dimatikan. Ia berguna ketika penulis ingin berehat sedikit ketika sedang memandu di lebuh raya. Angkat sahaja kaki dari pendikit, enjin terus dimatikan namun kereta terus bergerak pada kelajuan tetap. Enjin akan dihidupkan dengan lancar apabila pendikit ditekan semula.

Sistem ini bukan sahaja membolehkan pemandu sedikit sebanyak penat mereka mengurangkan penat mereka ketika dalam perjalanan jarak jauh, malah boleh mengurangkan penggunaan bahan api sekaligus memaksimumkan jarak pemanduan bagi setiap tangki penuh.

Tugas untuk menampung berat GLE 450 diserahkan kepada sistem suspensi udara Airmatic yang dilengkapi dengan peredam adaptif. Ia mungkin tidak secanggih sistem E-Active Body Control yang terdapat pada versi CBU, namun Airmatic masih mampu menjalankan tugasnya dengan baik dengan meminimumkan lantunan dan hentakan. Cuma, penulis boleh merasakan yang ia bergelut untuk mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dengan agresif.

Mercedes-Benz GLE 450 Pandu Uji

Konklusi

GLE 450 bukanlah sebuah kenderaan yang tiada kelemahan atau kekurangan tetapi tidak keterlaluan rasanya jika penulis mengatakan yang ia adalah contoh yang hampir sempurna untuk sebuah SUV mewah. Namun, malang untuk model ini kerana ia berdepan cabaran yang sukar daripada BMW X5 dan Volvo XC90, yang masing-masing memiliki kelebihan dari segi prestasi dan harga.

Spesifikasi Mercedes-Benz GLE 450 4Matic CKD
Enjin: petrol, turbo enam silinder sebaris dengan hibrid ringkas 48 volt
Kapasiti: 2,999 cc
Kuasa: 367 hp @ 5,500 rpm
Tork: 500 Nm @ 1,600 rpm
Transmisi: automatik sembilan kelajuan 9G Tronic
0-100 km/j: 5.7 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM485,501

Previous post

IONIQ 6 Semua-Hyundai Didedahkan Sebagai “Electrified Streamliner”

Next post

Subaru Forester STI Sport Gen. Ke-5 Facelifted Diusik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.