Berita Auto

Ford Mondeo Generasi Ke-5 Diperkenalkan Di China

Jualan yang merudum serta populariti crossover dan SUV mungkin telah menyebabkan Ford Mondeo ‘pupus’ di Eropah namun di China, sedan itu akan terus hidup menerusi model serba baharu generasi kelima yang baru sahaja diperkenalkan di Shanghai.

Menurut Ford, Mondeo baharu ini direka berdasarkan bahasa reka bentuk “Progressive Energy in Strength” yang menampilkan kecenderungan pelanggan-pelanggan mereka di negara itu, serta tiga prinsip reka bentuk iaitu Commanding, Agile dan Responsive.

Ford Mondeo

Jika dilihat, reka bentuk Mondeo memang nampak lebih tegas berbanding yang digantikannya dengan adanya gril dengan sel parametrik dan lampu LED. Bonetnya mempunyai ukiran-ukiran yang menghasilkan ‘power bulge’ seperti sedan berprestasi tinggi yang sebenar, manakala garisan bumbungnya direka khusus untuk memberikan profil sisi ala coupe.

Di belakang pula, terdapat lampu LED dengan grafik yang jelas diinspirasikan oleh Mustang, serta elemen hitam berkilat yang berfungsi untuk menyerlahkan lagi kelebaran Mondeo. Dari segi saiz, sedan ini 23 mm lebih lebar dan 63 mm lebih panjang berbanding model generasi terdahulu.

Menerusi kaji selidiknya, Ford mendapati pembeli kereta di China gemar akan elemen-elemen reka bentuk yang responsif. Oleh itu, syarikat itu menyertakan pemegang pintu kereta rata jenis pop out, lencana Ford yang bertindak untuk membuka but apabila disentuh serta sel parametrik aktif pada gril yang akan bergerak apabila dihampiri pemandu.

Siaran media Ford tidak menyebut apa-apa mengenai trenkuasa namun menurut laporan, Mondeo akan tampil dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda hadapan. Ini masuk akal kerana kombinasi enjin dan kotak gear ini turut ditawarkan pada Evos, versi crossover kepada Mondeo yang diperkenalkan pada April tahun lalu.

Mondeo serba baharu ini dibangunkan oleh pasukan Ford China dan akan dipasang oleh Changan Ford, usahama 50/50 antara Changan Automobile dan Ford Motor Company, eksklusif untuk pasaran China. Penyerahan dijangka bermula tahun ini.

Previous post

Sebelum Boleh Claim Insuran Kereta Anda Kena Bayar Sejumlah Wang Terdahulu

Next post

Targa 911 Khas Menyambut Ulangtahun Ke 50 Reka Bentuk Porsche

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *