Motosikal / Lain Lain Roda

Triumph Speed Twin 2021 Diperkenalkan – Harga Dari RM77,900

Triumph Speed Twin telah diberikan penambahbaikan yang agak menyeluruh untuk model tahun 2021. Dilancarkan di peringkat global tiga tahun lalu sebagai sebahagian daripada rangkaian Modern Classic, motosikal itu kini mempunyai penampilan lebih premium, enjin lebih berkuasa serta beberapa ciri elektronik baharu.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-21

Membuatkan Speed Twin kelihatan lebih menonjol adalah roda 12 jejari baharu, penyenyap ekzos berkembar, madgad aluminium hadapan dan belakang, panel sisi aluminium serta tapak lampu utama tersadur. Terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Red Hopper, Matt Storm Grey dan Jet Black.

Seperti sebelum ini, Speed Twin kekal dengan enjin 1,200 cc silinder kembar selari namun terima kasih kepada pelbagai penambahbaikan mekanikal, Triumph telah berjaya meningkatkan kuasa dari 97 PS kepada 100 PS pada 7,250 rpm sambil memastikan enjin itu mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Bukan itu sahaja, tork puncak 112 Nm kini tiba pada tahap 500 rpm lebih rendah. Menurut Triumph, aci engkol dan alternator baharu yang lebih ringan mengurangkan inersia sebanyak 17 peratus, sekaligus menjadikan enjin lebih responsif.

Satu lagi aspek yang diberikan penambahbaikan adalah casis, di mana fork Marzocchi 43 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar boleh laras pada bahagian belakang memberikan Speed Twin pengendalian yang lebih baik. Sementara itu, kuasa membrek dibekalkan oleh cakera Brembo berukuran 320 mm dan angkup Brembo M50 monobloc empat piston di hadapan.

Untuk elektronik pula, Speed Twin 2021 didatangkan dengan tiga mod tunggangan (Rain, Road dan Sport), ABS serta Traction Control. Turut disertakan adalah lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat membelok LED, soket pengecas USB dan immobiliser.

Pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia iaitu Fast Bikes Sdn Bhd telah mengumumkan harga jualan Speed Twin baharu iaitu RM77,900. Pelanggan yang memilih warna premium dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM1,000.

Pelanggan yang menempah modell ini sehingga 15 Julai 2021 akan mendapat servis minyak pelincir yang percuma sebanyak dua kali serta diskaun sebanyak 35% untuk pembelian aksesori tulen Triumph. Mereka juga boleh memilih di antara tiga pakej aksesori Triumph bernilai lebih daripada RM4,000 secara percuma.

Previous post

Penjualan Kereta Britain Melonjak 674 Peratus Pada Mei 2021

Next post

UMW Toyota Motor Tangguh Sementara Operasi Kilang Dan Jualan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *