Motosikal / Lain Lain Roda

Triumph Street Scrambler Ditambahbaik Untuk 2021

Barisan model Triumph Street Scrambler telah diberikan penambahbaikan bagi tahun 2021, kini menampilkan enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 dan beberapa elemen reka bentuk terkini. Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan ini, pengeluar motosikal dari Britain itu juga menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai Sandstorm.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-24

Enjin sejukan cecair, silinder berkembar selari bersesaran 900 cc itu menghasilkan 65 PS pada 7,250 rpm dan 80 Nm dari serendah 3,250 rpm. Paip ekzos berkembar yang dipasang tinggi dengan penyenyap keluli tahan karat memberikan jentera ini bunyi trademarknya.

Dari segi penggayaan, imej retro Street Scrambler kini diberikan sentuhan premium menerusi plat nombor aluminium pada bahagian sisi, panel sisi baharu, dan tekstur baharu pada pelindung tempat duduk. Badan pendikit (throttle body), pelindung tumit dan pemegang lampu utama pula mempunyai kemasan aluminium.

Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi dengan perehat kaki ala perangkap beruang, penutup tangki minyak yang boleh dikunci serta rekaan mudguard hadapan yang minimal. Untuk 2021, ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Jet Black, Urban Grey dan Matt Khaki/Matt Ironstone.

Seperti sebelum ini, ciri-ciri seperti angkup brek empat piston Brembo, fork 41 mm, penyerap hentak berkembar boleh laras, serta rim 19 inci (hadapan) dan 17 inci (belakang) yang dibalut tayar Metzeler Tourance disertakan secara standard.

Sementara itu, ciri-ciri elektronik pula terdiri daripada ABS dan Traction Control yang boleh dipadamkan, serta tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Off-Road.

Direka bagi meraikan sejarah Street Scrambler yang pernah digunakan dalam perlumbaan di gurun El Mirage, Mojave dan Baja Peninsula ketika era 1960-an, Street Scrambler Sandstrom tampil dengan beberapa aksesori eksklusif yang menjadikan ia lebih menonjol.

Aksesori yang dimaksudkan adalah kemasan aksen Matt Storm Grey dan Ironstone pada tangki minyak, mudguard tinggi, juga dalam warna Matt Storm Grey, kit ‘tail tidy’ dengan lampu LED kompak dan lampu nombor plat, pelindung enjin aluminium, jeriji lampu utama serta pad lutut getah pada tangki minyak.

Diterhadkan pada 775 unit sahaja untuk pasaran global, Street Scrambler Sandstorm dijual pada harga bermula £9,900 (RM57,724) di United Kingdom.

Previous post

8 Kelebihan Stesen Penukaran Bateri Geely

Next post

Jaguar E-PACE Yang Disegarkan Tiba Di Singapura

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *