Berita Auto

Toyota GR 86 Akhirnya Didedahkan Secara Rasmi

Selepas lima bulan Subaru BRZ generasi kedua diperkenalkan, kini tiba pula giliran kembarnya iaitu Toyota GR 86 untuk membuat kemunculan. Seperti model terdahulu, BRZ dan GR 86 dibangunkan secara bersama namun masing-masing ditala untuk ‘feel’ yang berbeza.

Di bawah hud, GR 86 kini dikuasakan oleh enjin ‘boxer’ aspirasi natural 2.4-liter empat silinder baharu berbanding 2.0-liter sebelum ini. Ia menghasilkan 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm pada 3,700 rpm, iaitu tinggi sedikit jika dibandingkan dengan BRZ yang mempunyai 231 PS dan 249 Nm.

Dari segi prestasi, GR 86 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, 1.1 saat lebih pantas berbanding 86. Menurut Toyota, enjin tersebut bukan sahaja ditala untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi, malah untuk respon dan pecutan yang lebih lancar.

Seperti BRZ juga, aluminium digunakan untuk membuat bumbung, dapra dan hud bagi tujuan mengurangkan berat. Dari segi penampilan, GR 86 kelihatan hampir sama dengan saudaranya dari Subaru, namun dengan beberapa perincian yang berbeza.

Jika dilihat dengan lebih teliti, gril GR 86 lebih kepada bentuk bujur dengan corak heksagon seperti yang terdapat pada GR Yaris, manakala gril BRZ pula mempunyai rekaan yang lebih bersegi dan dihiasi dengan tiga bilah mendatar. Rekaan lampu nyalaan siang juga tidak sama, dengan grafik berbentuk L pada GR 86 dan C pada BRZ.

Susun atur ruang kabin kedua-dua model ini kelihatan sama, dengan kehadiran kluster instrumen digital tujuh inci dan paparan infotainmen lapan inci yang sama. Apa yang membezakan adalah logo ‘GR’ pada stereng dan sudah tentu, lambang jenama pada pad hon.

Bukan itu sahaja, GR 86 juga didatangkan dengan teknologi bantuan pemandu Subaru EyeSight yang mengandungi teknologi keselamatan pra-perlanggaran, sokongan kecemasan dan sokongan pencegahan perlanggaran sekunder.

Previous post

Hummer EV SUV Diperkenalkan

Next post

Aplikasi My BMW, MINI Dilancarkan Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *