Berita Auto

Hummer EV SUV Diperkenalkan

Berikuta pelancaran trak pikap Hummer EV pada Oktober tahun lalu, GMC kini memperkenalkan pula versi SUV yang sudah pasti akan membangkitkan nostalgia Hummer H2 dan H3 yang amat popular suatu ketika dahulu.

BHPetrol_Euro5 Diesel_Web Banner_BM_GoHedGostan

Menurut syarikat itu, Hummer EV SUV dibangunkan menggunakan platform dan konfigurasi trenkuasa elektrik yang sama dengan trak pikap tersebut. Ini bermakna ia didatangkan standard dengan tiga buah motor elektrik, manakala versi entry-level dengan dua buah motor elektrik akan menyusul kemudian.

Bagaimanapun, tidak seperti versi trak yang mempunyai 1,000 hp, versi SUV ini ‘hanya’ mendapat 830 hp, manakala tork pula kekal pada 15,592 Nm. Namun, harus diingat bahawa jumlah tersebut diukur pada roda dan bukannya pada enjin (Hummer EV tidak mempunyai enjin) seperti kebiasaannya.

Pun begitu, ia masih boleh dianggap sebagai sebuah yang pantas dengan masa pecutan 0-96 km/j 3.5 saat apabila berada di atas jalan raya. Penggunaan pak bateri Ultium memberikan ia jarak pemanduan dari 400 km hingga 482 km, bergantung pada varian. Antara ciri bantuan pemandu yang disertakan adalah Super Cruise yang menawarkan ciri pemanduan bebas tangan dan penukaran lorong automatik.

Sementara itu, prestasi off-road jentera ini dijamin dengan kehadiran ciri-ciri canggih seperti Crabwalk Mode, Extract Mode serta 4 Wheel Steer yang memberikannya radius pusingan yang kecil iaitu kira-kira 10.8 meter. Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai jarak pendekatan dan pelepasan yang terbaik dalam kelasnya.

Di dalam, Hummer EV SUV menawarkan konfigurasi lima tempat duduk serta ruang kargo berbumbung yang cukup luas. Seperti model H2 dan H3, tayar simpanan diletakkan pada tailgate. Ciri Infinity Roof dengan Transparent Sky Panel yang boleh dibuka membuatkan ruang kabin terasa lebih luas dan selesa, manakala sistem audio Bose dengan 14 pembesar suara dan sistem Electric Vehicle Sound Enhancement (EVSE) memberikan pengalaman pemanduan yang unik.

Pelanggan yang inginkan penampilan lebih menonjol boleh mendapatkan model Edition 1 yang didatangkan dengan rim berukuran 22 inci dan pelbagai kelengkapan tambahan. Pakej Extreme Off-Road pula menampilkan rim 18 inci dengan tayar bersaiz 35 inci, kamera bawah badan, plat perlindungan dan pelbagai lagi. Menurut GMC, model ini ditawarkan dengan lebih 200 pilihan aksesori.

Kedua-dua trak dan SUV Hummer EV akan dilancarkan memasuki pasaran bermula 2023. Bagi versi SUV, ia akan dijual pada harga bermula dari $79,995 (RM331,339) bagi varian paling asas (EV2) hingga $105,995 (RM439,301) bagi varian Edition 1.

Previous post

Sprinter Petronas Edition - Trak Tunda Penuh Gaya

Next post

Toyota GR 86 Akhirnya Didedahkan Secara Rasmi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *