Berita Auto

Perodua Aruz Dilancarkan Di Singapura – RM286k

Perodua Aruz telah memasuki pasaran eksport pertamanya – Singapura – dengan harga pada masa pelancaran SGD92,999 (RM286,409), termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Certificate of Entitlement (COE).

“Aruz merupakan kenderaan tujuh-tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di Singapura,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020.

“Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz – antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api – dengan jiran selatan kita,” tambah beliau.

Enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i dengan blok aluminium bergabung dengan transmisi automatik kawalan elektronik dan Eco Idle untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l.

Barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi. Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.

Kelengkapan lain termasuk lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infotainment skrin sesentuh dengan paparan kamera undur.

Aruz dijual oleh Perocom Auto Pte Ltd di pusat jualan dan servisnya di Ubi. Pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, Perocom Auto telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza di sana.

Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia (di mana Myvi dijual sebagai Daihatsu Sirion).

Previous post

AKIO TOYODA Dianugerahkan Tokoh Kereta Dunia 2021

Next post

Citroën C5 X Adalah Flagship Baharu Syarikat

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *