Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Kia EV6 – Crossover Elektrik Dengan 577 hp, 740 Nm

Kia secara rasminya telah mendedahkan kereta elektrik terbaharu mereka iaitu EV6. Ia akan ditawarkan dalam tiga varian (EV6, EV6 GT-Line dan EV6 GT), dengan dua pilihan bateri (Standard Range atau Long Range) dan pacuan (2WD atau AWD). Seperti Hyundai IONIQ 5, model ini turut dibina menggunakan platform E-GMP yang khusus untuk kenderaan elektrik.

Berikut adalah varian dan konfigurasi yang ditawarkan untuk EV6:

  • EV6 Standard Range (bateri 58 kWj) 2WD – 125 kW (168 hp)/350 Nm
  • EV6 Standard Range (bateri 58 kWj) AWD – 173 kW (232 hp)/605 Nm
  • EV6 Long Range (bateri 77.4 kWj) 2WD – 168 kW (225 hp)/350 Nm
  • EV6 Long Range (bateri 77.4 kWj) AWD – 239 kW (321 hp)/605 Nm
  • EV6 GT-Line Standard Range (bateri 58 kWj) 2WD – 125 kW (168 hp)/350 Nm
  • EV6 GT-Line Standard Range (bateri 58 kWj) AWD – 173 kW (232 hp)/605 Nm
  • EV6 GT-Line Long Range (bateri 77.4 kWj) 2WD – 168 kW (225 hp)/350 Nm
  • EV6 GT-Line Long Range (bateri 77.4 kWj) AWD – 239 kW (321 hp)/605 Nm
  • EV6 GT Long Range (bateri 77.4 kWj) AWD – 430 kW (577 hp)/740 Nm

Maklumat terperinci mengenai jarak pemanduan bagi semua varian masih belum didedahkan, namun menurut Kia, EV6 Long Range 2WD boleh dipandu sejauh 510 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP. Dari segi prestasi, EV6 Long Range AWD boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat, manakala EV6 Standard Range AWD melakukannya dalam 6.2 saat.

Untuk pengecasan pula, teknologi 800V yang didatangkan dengan platform E-GMP membolehkan model ini dicas dari 10 hingga 80% dalam hanya 18 minit, atau empat minit setengah untuk mendapatkan jarak pemanduan sejauh 100 km bagi varian Long Range.

Menurut Kia, ciri Integrated Charging Control Unit (ICCU) dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan EV6 menggunakan kuasa baterinya untuk menguasakan perkakasan elektrik seperti TV 55 inci dan pendingin hawa serentak selama 24 jam. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengecas bateri kenderaan elektrik lain jika perlu.

Di dalam, EV6 dilengkapi dengan skrin berkembar berukuran 12 inci yang dijadikan sebagai paparan infotainmen dan kluster meter. Selain itu, ia juga didatangkan dengan paparan realiti terimbuh (Augmented Reality atau AR) yang memaparkan maklumat seperti kelajuan kenderaan, sistem navigasi serta sistem bantuan pemandu (ADAS). Sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara ditawarkan secara pilihan.

Bercakap tentang ADAS, model ini didatangkan dengan beberapa ciri terkini seperti Safe Exit Assist (SEA), Lane Following Assist (LFA), Highway Driving Assist 2 (HDA 2) dan Remote Smart Parking Assist (RSPA). Berikut adalah fungsi ciri-ciri berkenaan:

  • SEA – Sistem ini akan membunyikan amaran sekiranya terdapat kenderaan dari arah belakang ketika penumpang membuka pintu untuk keluar dari EV6
  • LFA – Membantu pemandu mengekalkan kedudukan EV6 di tengah-tengah lorong
  • HDA 2 – Membantu mengekalkan jarak dan kelajuan yang ditetapkan dengan kenderaan di hadapan semasa memandu di lebuh raya
  • RSPA – Pemandu boleh mengawal EV6 masuk atau keluar dari petak parkir secara kawalan jauh dari luar kenderaan
Previous post

Toyota Yaris Cross Adventure Khas Untuk Eropah

Next post

MINI Electric Pacesetter Adalah Safety Car Baharu Untuk Formula E

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *