Berita Auto

Honda Ucap Selamat Kepada S660 Dengan Model Edisi Terhad

Honda telah mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pengeluaran S660 pada tahun hadapan. Namun sebelum jualan kei-car berenjin tengah itu dihentikan buat selama-lamanya, Honda akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai Modulo X Version Z.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-15

Berasaskan varian Modulo X, Version Z boleh didapati dalam dua warna iaitu Sonic Grey Pearl dan Premium Star White Pearl. Tidak kira warna apa yang dipilih, lencana H, S660 dan Modulo X semuanya menerima kemasan hitam krom. Sementara itu, rim aluminium (berukuran 15 inci di hadapan, 16 inci di belakang) serta spoiler didatangkan dalam warna hitam.

Ruang kabin pula dihiasi dengan trim gentian karbon pada konsol tengah, serta upholsteri suede dan kulit pada tempat duduk, stereng dan panel pintu. Turut disertakan adalah plak aluminium dan beg eksklusif yang terletak di antara tempat duduk pemandu dan penumpang.

Tiada modifikasi dilakukan pada enjin, bermakna ia masih mempunyai 63 hp dan 104 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo tiga silinder bersesaran 658 cc. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi manual enam kelajuan.

Honda tidak menyatakan berapa banyak S660 Modulo X Version Z akan dikeluarkan, namun seperti model asasnya, ia hanya akan dijual di pasaran Jepun. Harga dikatakan bermula dari 3,150,400 yen (RM118,938).

Honda memperkenalkan S660 pada April 2015 sebagai pengganti kepada Beat. Sejak pelancarannya, S660 telah terjual sebanyak lebih daripada 30,000 unit dan sejumlah kecil daripadanya telah tiba di negara ini menerusi pengimport kereta recon.

Previous post

Kia EV6 Didedahkan Sepenuhnya

Next post

Maserati Bora Pertama Kali Muncul 50 Tahun Lalu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *