Berita Auto

Mercedes-Benz C-Class W206 Diperkenalkan

Selepas enam tahun berada di pasaran, Mercedes-Benz C-Class W205 akhirnya digantikan dengan model generasi baharu iaitu W206. Seperti yang boleh dilihat, model generasi keenam ini diberikan rekaan yang kemas dan sofistikated yang hampir sama dengan S-Class W223.

Bukan itu sahaja, sedan kompak ini juga mempunyai dimensi yang lebih besar berbanding sebelum ini dengan ukuran panjang dan lebar masing-masing bertambah sebanyak 65 mm dan 10 mm, kepada 4,751 mm dan 1,820 mm. Ukuran tinggi pula berkurang sebanyak 9 mm kepada 1,438 mm. Tapak roda pula menjadi 25 mm lebih panjang dengan ukuran 2,865 mm.

Ruang dalaman C-Class juga melalui pembaharuan yang menyeluruh, terutamanya pada bahagian konsol tengah di mana terdapatnya sebuah skrin sentuh berukuran 11.9 inci. Bukan itu sahaja, pemandu juga mendapat paparan instrumen baharu yang boleh didapati dalam dua saiz iaitu 10.25 inci atau 12.3 inci.

Seperti kebanyakan model Mercedes-Benz sedia ada, C-Class dilengkapi dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan ciri arahan suara “Hey Mercedes”. Ia juga mempunyai fungsi Smart Home yang membolehkan pemandu mengawal suhu, lampu dan kelengkapan elektrik di dalam rumah dari dalam kereta.

Untuk enjin pula, Mercedes-Benz menawarkan pilihan enjin petrol atau diesel empat silinder. Semuanya didatangkan dengan sistem hibrid ringkas (mild hybrid) EQ Boost dengan sistem elektrikal 48 volt dan Integrated-Starter Generator (ISG).

Enjin petrol didatangkan dalam varian C180, C200, C200 4Matic, C300 dan C300 4Matic. Tiga varian pertama berkenaan menggunakan enjin turbo 1.5-liter yang menghasilkan 170 hp dan 250 Nm bagi C180, dan 204 hp dan 300 Nm bagi C200 dan C200 4Matic.

Sementara itu, C300 dan C300 4Matic pula dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter dengan 258 hp dan 400 Nm. Kesemua varian C-Class dilengkapi dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

Mercedes-Benz turut mengesahkan bahawa varian hibrid plug-in yang menawarkan pemanduan elektrik sejauh 100 km bakal menyusul tidak lama lagi.

Previous post

Memperkenalkan Kereta Pertama Jenama Baharu IONIQ - The IONIQ 5 Oleh Hyundai

Next post

GMA T.50s Niki Lauda Adalah Senjata Litar Berprestasi Tinggi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *