Berita Auto

GMA T.50s Niki Lauda Adalah Senjata Litar Berprestasi Tinggi

Enam bulan selepas memperkenalkan supercar pertamanya iaitu T.50, Gordon Murray Automotive (GMA) kini kembali dengan varian yang lebih hardcore yang dikenali sebagai T.50s Niki Lauda. Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi siapakah sumber inspirasi bagi model ini.

Seperti versi standard, T.50s Niki Lauda turut dikuasakan oleh enjin NA 3.9-liter V12, namun kuasa pada model edisi terhad ini telah dipertingkatkan dari 663 PS dan 467 Nm kepada 711 PS dan 485 Nm. Ini dicapai menerusi kepala silinder dan aci engkol yang direka semula, di samping penggunaan sistem ekzos Inconel.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi berjujukan enam kelajuan yang boleh dioperasikan menerusi paddle shifter. Apa yang menarik, GMA menawarkan dua versi kotak gear – satu dengan nisbah panjang yang membolehkan jentera ini memecut sehingga 338 km/j, dan satu lagi dengan nisbah pendek untuk prestasi pecutan yang lebih baik, namun dengan kelajuan maksimum yang lebih rendah iaitu 274 km/j.

Bagi memastikan T.50s boleh memanfaatkan kuasa yang lebih tinggi itu dengan sebaik mungkin, GMA turut menambah baik aspek aerodinamiknya. Setiap panel badan model ini telah direka semula, dengan bampar hadapan kini dilengkapi dengan spiltter yang besar.

Selain itu, sepasang saluran NACA diletakkan pada bahagian bonet untuk penyejukan brek yang lebih efektif, manakala sistem penyejukan minyak untuk enjin dan prestasi kini berada di dalam saluran udara sisi bagi mengoptimumkan pusat gravitinya.

Tidak cukup dengan itu, skup udara bumbung kini disambungkan dengan sirip panjang bagi meningkatkan lagi kestabilan jentera itu. Menurut GMA, konfigurasi aerodinamik ini boleh menjana downforce maksimum 1,500 kg.

Di dalam, T.50s Niki Lauda masih mengekalkan konfigurasi tiga tempat duduk dengan kerusi pemandu diletakkan di tengah-tengah kabin. Bagaimanapun, tempat duduk di sebelah kanan pemandu telah dibuang dan digantikan dengan sistem pemadam api. Kerusi sebelah kiri pemandu dikekalkan, namun ia juga boleh dikeluarkan jika pelanggan mahu.

Penggunaan bahan-bahan seperti gentian karbon pada panel badan dan casis, rim magnesium serta komponen-komponen enjin yang lebih ringan memberikan T.50s Niki Lauda berat keseluruhan sebanyak 852 kg, iaitu 134 kg lebih ringan berbanding T.50 biasa.

Hanya 25 unit T.50s Niki Lauda akan dihasilkan dan setiap satu akan didedikasikan kepada kemenangan yang pernah dikecapi oleh jentera Formula 1 rekaan Gordon Murray.

Previous post

Mercedes-Benz C-Class W206 Diperkenalkan

Next post

Goodyear Memperolehi Cooper Tires Dengan Harga USD2.5 Bilion

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *