Berita Auto

Kia Carnival Generasi Ke-4 Masuk Pasaran AS

Kia Carnival generasi keempat telah tiba di Amerika Syarikat, enam bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global. Menggantikan Sedona, Carnival merupakan model pertama yang dijual di AS dengan logo terbaharu Kia yang boleh didapati pada bahagian bonet dan lampu belakang. Ia akan ditawarkan dalam empat varian iaitu LX, EX, SX dan SX Prestige.

Dari segi penampilan, model spesifikasi AS ini kelihatan sama sahaja seperti model global. Bahagian hadapannya didominasi oleh jeriji hidung harimau yang moden, serta sepasang lampu LED, manakala bahagian belakangnya pula menampilkan lampu kombinasi dengan grafik geomteri. Cermin dwi tona, rocker panel hitam/krom serta rim 19 inci berwarna hitam berkilat memberikannya imej yang lebih premium.

Di dalam, Carnival menawarkan tempat duduk untuk lapan penumpang, dengan tempat duduk tengah barisan kedua yang boleh digelongsorkan ke hadapan dan dilipat menjadi meja. Terdapat juga konfigurasi tujuh tempat duduk yang memberikan MPV ini kerusi VIP pada barisan kedua. Selain pemanas dan penyejuk, kedua-kedua kerusi tersebut juga didatangkan dengan ciri pelarasan kuasa dan perehat kaki.

Dari segi teknologi pula, skrin sentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto disertakan secara standard namun ia boleh dinaik taraf kepada unit lebih besar yang berukuran 12.3 inci. Terdapat sembilan port USB yang disediakan untuk ketiga-tiga tempat barisan tempat duduk, serta dua inverter 110 volt. Peminat audio boleh mendapatkan sistem audio premium Bose yang mempunyai 12 pembesar suara serta teknologi Bose Centrepoint dan Dynamic Speed Compensation.

Dibina di atas platform N3 baharu yang turut digunakan oleh Sorento dan K5, Carnival mempunyai satu sahaja pilihan enjin iaitu enjin 3.5-liter V6 GDI yang menghasilkan 290 hp pada 6,400 rpm dan 355 Nm pada 5,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Walapun dipacu roda hadapan, Carnival boleh menunda beban sehingga 1,587 kg.

Ia juga dilengkapkan standard dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) yang merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
  • Blind-Spot Avoidance Assist (BCA)
  • Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA)
  • Parking Distance Warning-Reverse (PDW-R)
  • Lane Keeping Assist System (LKAS) with Lane Following Assist (LFA)
  • High Beam Assist (HBA)
  • Driver Attention Warning (DAW)

Bakal memasuki pasaran bermula suku kedua tahun ini, Carnival dijual pada harga $32,100 (RM129,764) untuk LX hingga $46,100 (RM186,359) untuk SX Prestige.

Previous post

Beberapa Model Audi PHEV Dapat Bateri Lebih Besar

Next post

Alfa Romeo Memperkenalkan Kereta Formula 1 2021 Mereka - The C41

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *