Motosikal / Lain Lain Roda

Honda ADV 150 Masuk Pasaran Malaysia – RM12k

Penantian peminat Honda ADV 150 berakhir hari ini dengan pelancaran rasmi model itu oleh Boon Siew Honda. Seperti X-ADV, ia juga merupakan sebuah skuter ‘adventure’ yang dibangunkan untuk tunggangan di kawasan bandar dan luar bandar.

ADV 150 dikuasakan oleh enjin satu silinder bersesaran 150 cc dengan SOHC dan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm pada 6,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi V-matic, manakala bahan api disimpan di dalam tangki berkapasiti 8 liter.

Di hadapan, ADV 150 mempunyai fork teleskopik Showa manakala di belakang pula terdapat penyerap hentak Showa lengkap dengan tabung. Menurut Boon Siew, masing-masing menawarkan jarak pergerak roda (wheel travel) sebanyak 130 mm dan 120 mm. Tayar yang digunakan adalah berukuran 110/80 dengan rim 14 inci di hadapan dan 130/70 13 inci di belakang, manakala cakera brek adalah bersaiz 240 mm dan 220 mm.

Dari segi saiz, ADV 150 mempunyai ukuran panjang 1,950 mm, lebar 763 mm dan tinggi 1,153 mm, dengan tapak roda sepanjang 1,324 mm. Sementara itu, ia juga mempunyai jarak lega tanah sepanjang 165 mm, manakala tempat duduk berada 765 mm dari tanah. Berat keseluruhan skuter ini adalah 133 kg.

Antara kelengkapan standard yang terdapat pada skuter ini adalah lampu utama LED, lampu nyalaan siang, panel meter LCD dan cermin penghadang angin boleh laras dengan dua peringkat ketinggian. Ciri-ciri seperti ruang storan 27.8 liter di bawah tempat duduk serta port pengecas yang terletak di dalam kotak konsol hadapan memberikan kemudahan kepada pengguna.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada ABS, Emergency Stop Signal (ESS) dan sistem kunci pintar. Turut disertakan adalah Idling Stop System (ISS) yang akan mematikan enjin apabila berhenti di lampu isyarat bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.

ADV 150 ditawarkan dalam dua warna iaitu Vivacity Red dan Matte Charcoal Grey Metallic. Ia dijual pada harga RM11,999 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Previous post

Ulangtahun Jeep Ke 80 Tahun Ini

Next post

Mengapa Anda Perlu Melawat Auto Bavaria Untuk BMW Baharu Anda Tahun Baharu Cina 2021 Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *