Berita Auto

Ferrari 812 GTS Lebih ‘Jahat’ Dengan Sentuhan Novitec

Selepas melancarkan pakej naik taraf untuk Ferrari 821 Superfast dua tahun lalu, Novitec kini memperkenalkan pula pakej yang hampir sama untuk versi convertible-nya iaitu 812 GTS. Hasilnya adalah kuasa yang lebih tinggi serta prestasi aerodinamik yang lebih baik.

Dengan sentuhan magis jurutera Novitec, enjin NA 6.5-liter V12 yang terletak di bahagian hadapan kini menghasilkan 840 PS dan 751 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 40 PS dan 33 Nm berbanding versi standard. Ia dicapai menerusi penggunaan pemangkin sport dan sistem ekzos prestasi tinggi yang mempunyai paip berukuran 110 mm. Untuk sistem ekzos ini, Novitec menawarkan flap aktif serta salutan emas 999 untuk pelesapan haba yang lebih baik. Ia juga boleh diperbuat daripada material Inconel yang banyak digunakan dalam F1.

Untuk casis pula, Novitec menggantikan gegelung asal dengan set gegelung sport yang lebih tegar serta lebih rendah sebanyak 35 mm. Untuk melindungi bampar hadapan jentera itu, pelanggan boleh mendapatkan sistem hidraulik yang boleh meningkatkan ketinggian suspensi pada gandar hadapan sebanyak 40 mm. Selain dengan menekan butang, ia diturunkan semula secara automatik apabila kenderaan mencapai kelajuan 80 km/j.

Mencantikkan lagi penampilan 812 GTS adalah komponen-komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, rocker panel atau skirting sisi, perumah cermin sisi, serta trim lubang udara yang terletak di belakang tayar hadapan. Semua komponen ini telah melalui proses pembangunan di dalam terowong udara dan dikatakan dapat meningkatkan aliran udara di samping mengurangkan efek lift.

Seperti biasa, pakej naik taraf Novitec tidak akan lengkap tanpa kehadiran rim yang lebih menarik. Untuk 812 GTS, syarikat talaan dari Bavaria, Jerman itu menawarkan rim centre-locking NF10 berukuran 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 275/30 dan 335/25.

Sementara itu, naik taraf untuk ruang dalaman pula bergantung kepada citarasa pelanggan. Novitec menawarkan pelbagai jenis upholsteri, termasuk kulit mewah dan Alcantara, dalam apa jua warna yang dimahukan.

Previous post

Shell Malaysia Sedang Melalui Peralihan Tenaga Yang Menyeluruh

Next post

Rangka Tindakan Lestari 'Perodua Smart Build' Dilancarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *