Berita Auto

BMW M5 CS Hadir Dengan 635 HP

BMW telah mendedahkan varian tertinggi dalam barisan M5 iaitu M5 CS. Dengan beberapa penambahbaikan mekanikal berbanding M5 Competition, ia merupakan model BMW M paling berkuasa dan pantas pernah dihasilkan setakat ini.

Enjin 4.4-liter twin-turbo V8 itu kini menghasilkan 635 hp, iaitu 10 hp lebih tinggi berbanding M5 Competition dan 35 hp lebih berbanding M5. Tork kekal pada 750 Nm dan gabungan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan semua roda M xDrive membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tiga saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 305 km/j.

Selain peningkatan kuasa, BMW turut menumpukan perhatian terhadap pengurangan berat M5 CS. Kehadiran komponen gentian karbon CFRP seperti bonet, bumbung, splitter hadapan, cermin sisi, spoiler dan diffuser belakang, serta penyenyap intake berjaya menyingkirkan berat berlebihan sebanyak 70 kg.

Turut menyumbang adalah penggunaan sistem ekzos sport keluli tahan karat serta cakera brek seramik M Carbon. Angkup brek didatangkan dalam warna merah sebagai standard namun pelanggan juga boleh mendapatkannya dalam warna emas.

Menurut BMW, sistem suspensi telah ditala semula supaya sesuai dengan badan M5 CS yang lebih ringan. Ini melibatkan gegelung bearing pada gandar hadapan dan belakang serta kawalan peredam. Tayar standard yang dibekalkan adalah Pirelli P Zero Corsa berukuran 275/35 R20 di hadapan dan 285/35 R20 di belakang.

Di dalam, M5 CS menampilkan tempat duduk M Carbon pada bahagian hadapan dan belakang, bermakna kapasiti penumpang dikurangkan daripada lima kepada empat. Terdapat juga upholsteri kulit Merino dengan jahitan merah Mugello, logo litar Nurburgring pada perehat kepala, balutan Alcantara pada stereng, dan paddle shifter gentian karbon.

Bagi pasaran Jerman, M5 CS akan dijual pada harga 180,400 Euro (RM887,154). Ia boleh didapati dalam warna Brands Hatch Grey, Frozen Brands Hatch Grey dan Frozen Deep Green. Namun apa yang paling menarik tentang penampilan sedan berprestasi tinggi ini adalah lampu nyalaan siang berwarna kuning yang diinspirasikan oleh jentera lumba GT BMW.

Previous post

Triumph Speed Triple 1200 RS Pesaing Terbaharu Segmen Hypernaked

Next post

Adakah Anda Bersedia Menunggu 9 Bulan Untuk SUV Proton Baharu Anda?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *