Berita Auto

Polis Jerman Terima Kereta Peronda BMW M850i?

Walaupun memakai livery biru dan kuning lengkap dengan perkataan ‘Polizei’ pada bahagian sisinya, BMW 8 Series Coupe ini bukanlah kereta peronda terbaru polis Jerman. Sebaliknya, ia adalah unit contoh yang telah ditala oleh AC Schnitzer sebagai sebahagian daripada kempen ‘Tune It! Safe!’.

Dilancarkan pada 2005, ‘Tune It! Safe!’ merupakan sebuah inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Penala Automobil Jerman (Verband Deutscher Automobil Tuner atau VDAT) untuk meningkatkan kesedaran mengenai homologasi dan penalaan secara selamat.

Untuk tahun ini, AC Schnitzer memilih M850i sebagai ‘kanvas’ mereka. Enjin 4.4-liter twin-turbo V8 yang mengusai jentera ini telah dinaik taraf bagi menghasilkan 620 PS dan 840 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 90 PS dan 90 Nm berbanding versi standard.

Selain itu, syarikat talaan dari Jerman itu turut menggunakan sistem suspensi sport yang mengurangkan ketinggian sebanyak 20-30 mm di hadapan dan 20-25 mm di belakang, serta rim AC3 berukuran 21 inci. Sistem ekzos sport dengan muncung karbon pula memberikan jentera ini ngauman yang lebih garang.

Dari segi visual, jentera ini mendapat balutan livery kereta polis dari Foliatec, serta beberapa komponen gentian karbon seperti spoiler dan splitter hadapan, skirt sisi, diffuser dan spoiler belakang. Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan bar lampu Hella RTK 7. Di dalam, terdapat paddle shifter aluminium, pedal kaki aluminium serta pelindung tombol kawalan iDrive.

M850i talaan AC Schnitzer ini akan dipamerkan di muzium BMW Welt yang terletak berhampiran ibu pejabat BMW di Munich.

Previous post

Hennessey Venom F5 Sasar Kelajuan Maksimum 500 Km/j

Next post

Geely Bin Rui F-Type Sport Tiada Kaitan Dengan Jaguar

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *