Berita Auto

Toyota Land Cruiser Prado Dapat Enjin Lebih Berkuasa

Sukar untuk dipercayai bahawa Toyota Land Cruiser Prado model semasa telah berada di pasaran sejak 2009. Ya, sudah lebih 10 tahun model generasi keempat itu dilancarkan jadi anda mungkin terfikir bahawa Toyota mempunyai sesuatu yang baharu untuk ditawarkan.

Tetapi tidak. Pengeluar dari Jepun itu tidak memperkenalkan Land Cruiser Prado generasi kelima, sebaliknya memberikan SUV bersaiz penuh itu satu lagi kemas kini di pasaran negara asalnya bagi memastikannya kekal relevan untuk jangka masa yang lebih panjang. Kali ini, model itu mendapat kuasa yang lebih tinggi serta beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek kelengkapan.

Untuk model 2021, enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter itu kini disuap dengan pengecas turbo yang lebih besar sekaligus meningkatkan kuasanya dari 174 hp sebelum ini kepada 201 hp. Bukan itu sahaja, tork turut menyaksikan peningkatan signifikan dari 450 Nm kepada 500 Nm. Transmisi automatik enam kelajuan Super ECT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa tersebut ke roda menerusi sistem 4WD.

Selain Land Cruiser Prado, enjin ini juga digunakan pada Toyota Hilux facelift yang telah dilancarkan di Thailand dan akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Bagi aspek kelengkapan pula, sistem keselamatan Toyota Safety Sense telah dipertingkatkan menerusi penambahan beberapa ciri baharu termasuk pengesanan pejalan kaki pada waktu malam dan penunggang basikal pada waktu siang, Yaw Assist untuk Lane Departure Alert, Road Sign Assist serta Rear-Cross Traffic Alert untuk sesetengah varian. Paparan audi berukuran 9.0 inci dengan integrasi telefon pintar ditawarkan secara opsyen manakala ‘paddle shifters’ disertakan secara standard pada varian teratas TZ-G.

Bagi menjadikan rangkaian model ini lebih menarik, Toyota turut menawarkan model Black Edition untuk versi diesel dan petrol. Seperti yang dicadangkan oleh namanya, model eksklusif ini sesuai untuk mereka yang mahukan imej garang dengan adanya kemasan hitam pada jeriji, lampu, tailgate, cermin sisi dan rim aloi 18 inci.

Untuk pasaran Jepun, Land Cruiser Prado diesel dan petrol ditawarkan dalam versi lima dan tempat duduk. Harga bermula dari 3,621,000 yen (RM143,656) hingga 5,530,000 yen (RM219,391). Seperti sebelum ini, ia tidak akan dibawa masuk secara rasmi oleh UMW Toyota Motor namun anda pasti akan menemuinya di kedai-kedai kereta import terpakai tidak lama lagi.

Previous post

Tan Chong Panggil Semula 4,001 Unit Nissan Serena S-Hybrid CBU

Next post

Kena Saman RM7,500 Akibat Tunjuk Isyarat Lucah Kepada Kamera 'Speed Trap'

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *