Berita Auto

Tips Memilih Filem Cermin Yang Betul Untuk Kereta Anda

Kedudukan Malaysia di garisan Khatulistiwa menyebabkan kita terdedah kepada cuaca panas terik sepanjang tahun dengan purat suhu 28˚C, dan adakalanya mencecah 35˚C. Pernahkah anda menaiki kereta yang tidak dilindungi oleh lapisan filem cermin? Jika ya, anda pasti tahu betapa seksanya apabila kulit dijilat matahari.

Walaupun kereta berupaya melindungi penumpang daripada pelbagai jenis bahaya, kita masih terdedah kepada bahaya sinaran matahari. Oleh itu, filem cermin kereta diperkenalkan bukan sahaja untuk tujuan privasi, malah untuk melindungi penumpang daripada sinaran yang boleh memudaratkan ini. Dengan pelbagai jenis filem di luar sana yang berbeza dari segi harga dan standard, bagaimanakah anda memilih filem yang sesuai?

BHP Banner Mini 60 tahun

Sebagai permulaan, kita harus memahami perkara berikut:

Apakah yang dimaksudkan dengan Peratus Ketelusan Cahaya (VLT) dan Faktor Perlindungan Matahari (SPF)?
Tahap ketelusan cahaya biasanya ditunjukkan dalam nilai peratusan bersamaan dengan peratusan cahaya yang dapat menembusi sesebuah kenderaan. Misalnya, VLT 30% bermaksud 30% cahaya nyata mampu menembusi tingkap manakala 70% daripadanya ditapis.

SPF pula merupakan pengiraan yang menunjukkan berapa lama sesuatu losyen pelindung matahari (sunscreen) dapat melindungi kulit kita daripada sinaran ultraungu B (UVB). Sinaran UVB biasanya mengakibatkan kerosakan pada epidermis, iaitu lapisan kulit di bahagian luar. SPF lazimnya mempunyai 3 tahap iaitu:

  • SPF 15 menghalang 93% sinaran UVB
  • SPF 30 menghalang 97% sinaran UVB
  • SPF 50 menghalang 98% sinaran UVB

car-2797169_1280

Perbezaan kualiti filem kereta
Pernahkah anda melihat filem kereta berubah warna, menggelembung atau mengupas? Ia biasanya disebabkan oleh filem gred rendah. Harganya mungkin jauh lebih murah berbanding jenama lain yang dipercayai — namun ada kemungkinan yang ia bukan sahaja tidak berupaya untuk melindungi anda dan ruang dalaman kereta anda daripada sinaran UV berbahaya, malah ia
juga tidak dapat menghalang kehadiran elemen seperti haba. Kos filem berkualiti tinggi biasanya boleh didapati dalam lingkungan harga antara RM700 sehingga RM5,000 bagi jenama terkemuka.

Ciri-ciri perlindungan yang asas
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kulit manusia yang terdedah kepada sinaran matahari boleh menjurus kepada masalah kulit atau lebih teruk lagi, kanser kulit. Untuk mengelakkannya, pemilihan filem yang betul perlu dibuat agar anda memperoleh perlindungan yang sewajarnya. Filem yang berkualiti tinggi biasanya mempunyai ciri perlindungan UV dan penangkis haba. Kebanyakan filem kereta yang standard dapat menangkis 99% sinaran UV.

4. Impact Resistance Demo - With 3M Scotchshield Crystalline Security AutoFilm

Pilih jenama yang dipercayai
Anda boleh membuat kajian lebih terdahulu sebelum memilih jenama yang benar-benar boleh dipercayai. Cuba dapatkan spesifikasi produk berkenaan secara dalam talian atau cari jenama yang memiliki akreditasi pihak ketiga. Jenama seperti 3M disyorkan pertubuhan kanser kulit Amerika Syarikat kerana ia menawarkan SPF yang melebihi 1,000 — iaitu 30 kali ganda lebih tinggi berbanding produk bergred tinggi yang seumpamanya.

Kekal nyaman dan kurangkan penggunaan bahan api
Penggunaan filem cermin sahaja tidak dapat menghalang haba daripada diserap oleh sesetengah komponen kereta. Namun dengan penggunaan filem cermin bergred tinggi, jumlah haba yang signifikan dapat ditapis mengikut kadar Total Solar Energy Rejected (TSER).

TSER merupakan terma yang biasanya dapat dilihat oleh pengguna pada brosur sesebuah produk filem kereta. Ia merujuk kepada jumlah haba yang dapat ditangkis oleh filem berkenaan — lebih tinggi nombor tersebut, lebih tinggi jumlah haba yang
dapat ditangkis.

car-crime-scripted-1316030-1280x960

Keselamatan
Selain daripada kebolehannya untuk melindungi penumpang daripada sinaran UV yang berbahaya, filem bercirikan keselamatan juga mampu menahan serpihan kaca tingkap yang telah retak atau pecah dan mengelakkan kaca tersebut daripada melayang atau bertaburan sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian.

Di Malaysia, filem keselamatan terbukti berupaya dapat membantutkan aktiviti pecah kenderaan. Namun, filem keselamatan bukannya 100% tidak boleh ditembusi kerana dalam keadaan kecemasan, tingkap kenderaan masih perlu diakses oleh pihak penyelamat.

Waranti
Selain spesifikasi, anda juga perlu mendapatkan maklumat secukupnya berkenaan dengan waranti. Kebanyakan produk bergred tinggi didatangkan dengan waranti daripada pengeluar dan ia akan ditunaikan oleh wakil-wakil pengedar sah. Sekiranya filem tersebut menunjukkan sebarang kecelaan dalam tempoh waranti yang ditetapkan, anda boleh membuat tuntutan. Inilah pentingnya pembelian dibuat menerusi pengedar bertauliah bagi memastikan waranti anda sah.

Tint VLT  (1)

Adakah filem ‘metallized’ sesuai untuk saya?
Filem jenis ini popular dalam pasaran filem kereta kerana harganya berpatutan serta berkualiti. Ia mungkin dilihat sebagai pilihan yang ideal, namun filem ‘metallized’ mempunyai isu-isu tersendiri. Oleh kerana ia diperbuat daripada sebatian
logam, filem jenis ini boleh mengganggu isyarat yang digunakan oleh GPS, telefon mudah alih, tag RFID dan pintu pagar elektrik. Selain itu, ia mempunyai masalah pengakisan yang bukan sahaja akan merosakkan penampilan filem tersebut, malah menjejaskan keupayaan penapisan haba.

Keupayaan tangkisan haba tidak bergantung kepada tahap kegelapan filem
Periksa peraturan penggunaan cermin gelap/filem kereta terlebih dahulu supaya tidak berhadapan dengan masalah dengan pihak berkuasa. Peraturan terkini bagi penggunaan filem kereta di Malaysia ialah — VLT 70% untuk cermin tingkap hadapan, VLT 50% untuk cermin tingkap sisi hadapan, dan tiada had VLT untuk cermin tingkap belakang. Filem gelap tidak semestinya dapat menangkis haba dengan lebih baik berbanding filem lut sinar, kerana kadar tangkisan haba sebenarnya bergantung kepada TSER.

Previous post

BMW 3-Series Touring Patut Dipanggil Crossover Untuk Tingkatkan Jualan

Next post

Mercedes AMG 53-Series Hidang 435 hp Dan 520 Nm

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *