Berita Auto

Angka-Tan Motor Lancar Trak Foton Auman EST

Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) – sebuah anak syarikat Warisan TC Holdings dan ahli Tan Chong Group – baru-baru ini melancarkan trak prime mover komersial tugas berat serba baharu iaitu Foton Auman EST (Energy Super Truck) dalam satu majlis khas untuk para pelanggannya.

BHP

Dikilangkan oleh Foton Daimler Automotive Co. Ltd yang berpangkalan di Beijing, trak Auman EST merupakan sebahagian daripada Siri Trak Super Foton yang dilengkapi pelbagai teknologi mobiliti termaju masa depan.

Dibina hasil gabungan teknologi dari Amerika Syarikat, Jerman dan China, trak Auman EST dikuasakan oleh enjin 12-liter Cummins ISG yang digabungkan dengan transmisi TraXon dari ZF Herman, serta aplikasi teknologi Eropah oleh Beijing Foton Daimler Automotive.

Trak ini juga dipasang dengan teknologi binaan platform termaju dan modular yang menggabungkan semua komponen kompleks menerusi ECU (Unit Kawalan Elektronik), sekali gus memudahkan urusan mendiagnos kerosakan, menambah baik keselamatan serta penggunaan bahan api.

Bukan itu sahaja, ciri I-Telligent System-Load Based Speed Control (LSBC) mengawal rev enjin berdasarkan kepada beban, keadaan jalan dan kelajuan kenderaan untuk menambah baik penggunaan bahan api. Ia juga membuatkan trak sangat stabil dan mudah dikendalikan di atas jalan yang tidak rata.

Auman EST menawarkan penjimatan bahan api yang luar biasa menerusi pelbagai cara. Enjin Cummins ISG canggih dengan jumlah tork tinggi pada rev rendah dan julat RPM yang luas itu dikatakan dapat meningkatkan kecekapan transmisi dan penjimatan bahan api sebanyak 2%.

FotonAumanEST_03

Selain daripada enjin yang ringan, kompak dan berkuasa, kotak gear ZF 16 kelajuan yang diperbuat daripada aloi aluminium, tangki minyak, bahan ringan yang lain serta rekaan badan yang aerodinamik turut menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Dari segi keselamatan, trak Auman EST dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Acceleration Slip Regulation (ASR) serta teknologi tekanan brek enjin (iBrake) dengan kuasa brek sehingga 370 kuasa kuda.

Kabin didatangkan dengan bampar yang besar dan padu, lampu nyalaan siang LED, lampu utama berpadatan tinggi dan plat sudut anti lumpur. Antara ciri keselesaan dan keselamatan lain termasuklah stereng boleh laras, papan pemuka mesra pengguna, tempat duduk pemandu dengan suspensi udara untuk sokongan lumbar, cermin pandang belakang dan tingkap bumbung boleh laras secara elektrik serta katil berkembar yang luas.

Trak Auman EST kini boleh didapati dalam tiga model berbeza untuk pelanggan di Malaysia. Selain sokongan selepas jualan komprehensif melibatkan 18 pengedar servis, pelanggan juga akan menikmati jaminan selama 4 tahun dengan perbatuan tanpa had. Sempena pelancaran ini, Angka-Tan Motor turut menawarkan harga istimewa untuk 30 unit terawal yang ditempah sebelum 31 Ogos 2018.

Previous post

Ares Panther Adalah De Tomaso Pantera Versi Moden

Next post

Prodrive Mahu Bina Kereta Amfibia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *