Motosikal / Lain Lain Roda

Tunggang Uji: Benelli TnT135

Motosikal mini bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia, walaupun ia jarang-jarang dilihat berkeliaran di atas jalan raya. Dahulu, Kawasaki merupakan satu-satunya pengeluar yang menawarkan model sebegitu dengan KSR 110 namun kini persaingan dalam segmen yang boleh dikatakan setahun jagung ini bertambah sengit dengan kemasukan pesaing-pesaing seperti Kawasaki Z125 Pro, Honda MSX 125 dan juga Benelli TnT135 yang sempat kami cuba baru-baru ini.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Sudah tentu anda berfikir bahawa pembeli akan lebih tertarik dengan Z125 Pro atau MSX 125 disebabkan pengaruh jenama masing-masing yang sudah lama bertapak di negara ini, namun percaya atau tidak TnT135 mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

????????

Pertama sekali, berbanding kedua-dua pesaingnya yang diimport dari Thailand, TnT135 dipasang di kilang Benelli-Keeway Motorcycles yang terletak di Rawang dan ini memberikannya kelebihan dari aspek kos. Di antara ketiga-ketiga model ini, TnT135 adalah yang paling mampu milik dengan harga RM7,990, diikuti oleh Z125 Pro (RM10,435) dan MSX 125 (RM11,128).

Bukan itu sahaja, model keluaran Benelli ini juga didatangkan dengan enjin 134.7 cc berbanding Z125 Pro dan MSX 125 yang masing-masing menampilkan enjin 125 cc. Dengan satu silinder, enjin tersebut menghasilkan 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm pada 7,000 rpm.

????????

Sekali pandang, jelas sekali TnT135 mempunyai ciri-ciri fizikal yang agak unik berbanding motosikal berkapasiti kecil yang lain. Bahagian hadapannya menampilkan rekaan lampu yang mirip model-model Benelli yang lain namun apa yang lebih menarik adalah bahagian belakang motosikal serta ekzosnya yang kelihatan seperti MV Agusta Brutale Dragster.

Karakter bertenaga TnT135 diserlahkan lagi dengan kerangka terdedah yang dicat merah serta rekaan unik madgad belakang. Selain itu, lampu LED depan dan belakang bukan sahaja menambah seri, malah meningkatkan keselamatan ketika menunggang pada waktu malam. Paparan meternya ringkas dan mudah dibaca walaupun di bawah matahari terik.

????????

Biarpun kelihatan kecil, TnT135 mempunyai ciri-ciri ergonomik yang tidak kurang selesanya berbanding skuter atau kapcai. Bar hendal dan tempat duduknya berada pada ketinggian yang sesuai untuk penulis yang berketinggian kira-kira 1.67 meter. Dengan posisi perehat kaki yang tidak terlalu ke atas, penulis dapat menikmati kedudukan menunggang yang selesa dan tidak memenatkan.

Bagaimanapun, melihat kepada saiz pelana yang terhad, penulis tidak rasa yang motosikal ini sesuai untuk mereka yang membawa penumpang terutamanya bagi perjalanan jarak jauh. Tetapi untuk menghantar atau mengambil anak kecil di sekolah misalnya, tiada masalah bagi TnT135.

????????

Penulis berpendapat TnT135 memberikan pengalaman menunggang yang tersendiri dan lain dari yang lain. Kuasa yang dibekalkan mungkin nampak kecil di atas kertas namun ia sebenarnya cukup untuk memberi pecutan bertenaga di sekitar bandar raya. Malahan dalam kebanyakan situasi, penulis tidak perlu menurunkan gear untuk memotong kenderaan lain.

Motosikal kenit ini tidak kurang juga hebatnya di jalan yang lebih terbuka, di mana transmisi lima kelajuan yang dioperasikan menerusi klac tangan membolehkan penulis memerah keringat enjin sehabis mungkin sebelum menukar ke gear seterusnya. Berdasarkan permerhatian, TnT135 mampu memecut sehingga kira-kira 110 km/j dengan putaran enjin berada pada tahap hampir 10,000 rpm walaupun dengan kekurangan penghadang angin.

????????

Pengendalian TnT135 juga seimbang dari aspek keselesaan dan prestasi. Suspensi monoshock belakang boleh dikatakan sedikit keras berbanding motosikal berkapasiti kecil lain yang pernah penulis cuba namun hal ini diseimbangkan dengan prestasi di mana bahagian ‘ekor’ motosikal terasa begitu stabil dan tidak teroleng-oleng ketika mengambil selekoh.

Bukan itu sahaja, saiznya yang kompak serta bar hendal yang agak lebar menyenangkan pengemudian terutamanya ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dengan TnT135, penulis berasa selesa dan yakin untuk mencelah di antara kenderaan-kenderaan lain.

????????

Saiz roda yang kecil (120/70 di hadapan, 130/70 di belakang) juga bukan penghalang untuk TnT135 beraksi ligat di jalan raya. Roda Metzeler yang didatangkan standard terbukti mempunyai tahap cengkaman yang bagus walaupun ketika menunggang di atas jalan basah dan licin.

Walaupun tidak mempunyai ABS, TnT135 mempunyai kuasa membrek yang cukup hasil dari gabungan cakera 220 mm dengan angkup dua omboh di depan dan cakera 190 mm dengan angkup satu omboh di belakang.

????????

Dari perwatakan agresif ke enjinnya yang ligat, tidak dapat dinafikan lagi yang Benelli TnT135 direka untuk pengalaman menunggang yang sukar digambarkan. Ia tidak sepraktikal skuter atau kapcai namun dengan harga yang berpatutan, motosikal mini ini hadir sebagai satu tawaran yang sukar diabaikan terutamanya bagi baru mula menunggang yang mungkin mempunyai modal yang kecil.

Malah, penunggang wanita yang mempunyai fizikal yang kecil juga boleh menjadikan TnT135 sebagai tapak permulaan dek kerana saiznya yang ‘comel’.

????????

Spesifikasi Benelli TnT135
Enjin: SOHC, satu silinder
Kapasiti: 134.7 cc
Kuasa: 12.6 hp @ 9,000 rpm
Tork: 12.8Nm @ 6,500 rpm
Transmisi: Lima kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM7,990 (tanpa GST)

 

 

 

 

Previous post

Litar Antarabangsa Sepang Terima Pensijilan ISO 20121:2012

Next post

Aplikasi Toyota Drive Memudahkan Pemilik dan Pelanggan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *