Cerita Auto

Pandu Uji: Toyota Innova 2.0G

Anda mungkin bersetuju jika kami katakan yang Toyota adalah jenama yang lebih sinonim dengan kualiti dan ketahanan berbanding gaya. Rekaan produk yang dihasilkan sejak kewujudannya boleh dikatakan tidak terlalu menonjol tetapi kualiti pemasangan yang ditawarkan mampu untuk menarik sejumlah besar pembeli di serata dunia.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Namun akhir-akhir ini, barisan produk (Hilux, Fortuner, Camry, Sienta dan sebagainya) yang dikeluarkan oleh Toyota dilihat semakin segak bergaya dengan rekaan lebih premium. Ini termasuklah Innova generasi kedua, yang dilancarkan di Malaysia awal bulan ini.

Toyota Innova Review 38

Kenderaan pelbagai guna (MPV) ini adalah produk serba baharu yang dimasukkan bagi menggantikan model generasi pertama yang dilancarkan pada 2005. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0E (automatik dan manual) dan 2.0G (automatik) yang sempat kami pandu uji.

Bertemakan ‘tough and sophisticated’, rekaan Innova kini lebih tajam dan bersegi dari semua sudut. Kedudukan lampu hadapan dan gril juga dinaikkan untuk imej segar manakala reka bentuk tiang C yang unik memberikannya karakter tersendiri.

Toyota Innova Review 07

Ia dilengkapi dengan lampu halogen multi-reflector dengan ciri Auto On/Off, Follow Me Home dan pelarasan manual, lampu nyalaan siang, lampu kabus depan dan belakang, hendal pintu krom, cermin sisi dengan ‘puddle lamp’, spoiler belakang, rim 16 inci serta kemasan krom dan cat perak dan hitam pada gril hadapan.

Perubahan yang sama turut boleh dilihat di dalam kabin, di mana ruang itu dirasakan lebih mewah berbanding model sebelum ini. Sebagai contoh, papan pemuka beralun dengan kemasan kayu dan perak, panel instrumen Optitron dan lampu ambien seperti yang terdapat di dalam kabin kapal terbang memberikan Innova suasana premium untuk seisi keluarga.

Toyota Innova Review 24

Bukan sahaja cantik, perjalanan jauh dengan Innova juga selesa dek ruang dalamannya yang begitu senyap. Para jurutera Toyota berjaya menghapuskan sebahagian besar bunyi bising dengan menggunakan komponen-komponen yang lebih tebal serta bahan penebat pada bahagian tertentu. Ngauman enjin juga berjaya dikurangkan menerusi penggunaan ‘expansion foam’ yang disuntik ke dalam ruang enjin serta rongga-rongga di bahagian kabin.

Bercakap tentang kabin, ia cukup luas untuk memuatkan sehingga lapan orang penumpang. Walaupun jarak roda kekal pada 2,750 mm, panjang keseluruhan yang meningkat sebanyak 146 mm memberikannya sedikit kelebihan dari aspek keselesaan penumpang berbanding model sebelum ini.

Toyota Innova Review 33

Dengan tiga baris tempat duduk, ruang kabin Innova boleh diubah suai dalam pelbagai cara bergantung kepada keperluan. Barisan kedua dan ketiga boleh dilipat secara individu atau sepenuhnya bagi memudahkan urusan keluar masuk atau mengisi kargo. Sama seperti Fortuner, kerusi di barisan ketiga boleh dilipat dan digantung ke bahagian sisi jika tidak digunakan.

Sebagai kenderaan keluarga, Innova turut didatangkan dengan pelbagai ciri kemudahan demi keselesaan penumpang termasuk meja lipat di bahagian belakang kerusi hadapan, soket 12V, pintu belakang ‘Easy Closer’ dan juga sistem penghawa dingin automatik hadapan dan belakang. Ia juga dilengkapi dengan pemegang cawan bagi setiap tempat duduk dan ‘glove box’ berhawa dingin.

Toyota Innova Review 18

Varian 2.0G yang diuji dilengkapi dengan sistem infotainmen DVD-AVN yang ditawarkan sebagai pilihan. Sistem itu merangkumi pemain DVD, skrin sentuh 8 inci dengan fungsi Wifi, penyambungan telefon pintar, USB, HDMI, Bluetooth, sistem navigasi serta paparan kamera undur. Ia turut mempunyai enam pembesar suara yang merupakan ciri standard bagi model ini.

Dari aspek kuasa, ketiga-tiga varian Innova didatangkan dengan enjin yang sama iaitu 1TR-FE 2.0 liter empat silinder Dual VVT-i yang menghasilkan 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa dipacu ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan bagi varian automatik dan lima kelajuan bagi manual.

Toyota Innova Review 16

Dengan berat badan sekitar 1,720 kg (100 kg lebih berat berbanding sebelum ini), Innova nyata mengambil masa untuk bergerak pada kelajuan optimum. Namun apabila sudah mencapai kelajuan yang dikehendaki, enjin ini ternyata senyap dan lancar, sesuai untuk perjalanan jauh.

Kuasa yang ditawarkan boleh dimaanfaatkan melalui tiga mod; ‘Normal’ sesuai untuk kegunaan harian dengan kuasa dan penjimatan yang seimbang; ‘ECO’ untuk penjimatan maksimum melalui penggunaan gear tinggi lebih awal dan penghawa dingin yang dioptimalkan; dan ‘Power’ untuk pecutan maksimum dengan pendikit yang lebih responsif.

Toyota Innova Review 39

Menurut Toyota, Innova boleh mencapai penjimatan bahan api sehingga 18 peratus berbanding model sebelum ini. MPV itu juga dianugerahkan status kenderaan cekap tenaga atau Energy Efficient Vehicle (EEV) yang membolehkan harganya dikurangkan.

Untuk sebuah MPV, pengendalian Innova tidak mengecewakan walaupun sistem suspensinya yang terdiri dari jenis double wishbone (hadapan) dan multilink (belakang) jelas ditala untuk keselesaan berbanding prestasi.

Toyota Innova Review 11

Biarpun mempunyai postur yang agak tinggi, kenderaan itu masih terasa stabil walaupun dipandu laju di lebuh raya. Olengan badan yang sinonim dengan rangka ladder frame dikawal sepenuhnya dengan adanya penyerap hentak yang lebih besar pada suspensi belakang, manakala pacuan roda belakang memberikan lebih keyakinan di selekoh-selekoh tajam.

Bagi tujuan keselamatan, Innova didatangkan dengan ciri-ciri seperti Vehicle Stability Control (VSC) dengan Traction Control (TRC), ABS serta EBD. Malah lebih berbaloi lagi, varian 2.0G mendapat tujuh beg udara (berbanding tiga beg udara bagi 2.0E), Brake Assist (BA), Hill-start Assist Control (HAC) dan Emergency Stop Signal (ESS). Mereka yang menggunakan kerusi kanak-kanak pasti akan menghargai titik ISOFIX yang terletak pada tempat duduk barisan kedua.

Toyota Innova Review 04

Dijual pada harga RM126,000, Toyota Innova baharu dilihat sebagai pakej yang berbaloi untuk pembeli SUV di negara ini, terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan model-model seperti Alphard atau Vellfire yang lebih mewah. Ia tidaklah segah model-model tersebut, namun faktor-faktor seperti rekaan yang lebih moden, kabin yang selesa serta barisan kemudahan yang lengkap menjadikannya tawaran menarik yang sukar untuk diabaikan.

Spesifikasi Toyota Innova 2.0G
Enjin: empat silinder, DOHC dengan Dual VVT-i
Kapasiti: 1,998 cc
Kuasa: 139 PS @ 5,000 rpm
Tork: 183 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: automatik enam kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM126,000

 

 

 

 

 

 

 

Previous post

Dapatkan Ducati atau Harley Dengan Diskaun 70%

Next post

Lamborghini Menyambut Ulang Tahun ke-50 Miura

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *