Berita Auto

Pandu Uji: Proton Perdana Baharu

Enam tahun setelah pengeluaran Perdana generasi pertama dihentikan, Proton akhirnya melancarkan Perdana generasi kedua pada Julai 2016. Tidak seperti model terdahulu yang lahir hasil dari gabungan antara Proton dan Mitsubishi, Perdana terbaru ini merupakan simbol usahasama antara syarikat pembuat kereta nasional itu dengan satu lagi jenama Jepun iaitu Honda.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_20160610

Mungkin ramai yang sudah mengetahui bahawa Perdana baru ini menggunakan platform Accord generasi kelapan dan ini merangkumi enjin, transmisi dan casis. Jadi, seperti sedan keluaran Honda tersebut, Perdana juga ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 dan 2.4 liter.

Proton Perdana

Kami berpeluang untuk mencuba varian 2.4 semasa sesi uji pandu bersama Proton dan media lain ke Melaka baru-baru ini. Secara keseluruhannya, ia merupakan produk yang cukup bagus dan layak dipanggil sebagai ‘successor’ atau pengganti kepada model asal. Berikut adalah beberapa sebab mengapa Proton patut berbangga dengannya walaupun penglibatan mereka dalam projek ini agak terhad.

Reka bentuk yang menyerlah

Proton Perdana

Walaupun menggunakan badan Accord, Perdana mempunyai identitinya yang tersendiri yang menyerlah tidak kira dari sudut mana anda melihatnya. Dari hadapan, konsep ‘Proton Wing’ memberikannya rupa yang garang manakala dari tepi pula ia tampil segar dengan rekaan ‘sportback’ bak kereta buatan Eropah.

Bagaimanapun, ‘tailpipe’ atau tip ekzos palsu yang dicat mengikut warna badan membuatkan bahagian belakangnya kelihatan agak janggal. Ia sepatutnya dikemaskan dengan krom dan dipadankan dengan ‘diffuser’ berwarna hitam.

Ruang kabin yang luas dan selesa

Proton Perdana

Tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan kerana kabin Accord adalah antara yang terbaik dalam segmennya. Selain dari warna dan kemasan yang dikemaskini iaitu hitam dan kelabu untuk 2.0, dan kuning air (beige) dengan kemasan bercorak kayu untuk 2.4, kebanyakan elemen dikekalkan.

Tempat duduknya yang disalut kulit juga lembut untuk diduduki, selain dari adanya sokongan lumbar untuk lebih keselesaan. Dengan jarak roda 2,800 mm, Perdana juga mempunyai ruang kaki yang luas. Garis bumbungnya yang dramatik juga tidak mengganggu ruang kepala penumpang belakang.

Sistem infotainment yang lengkap

Proton Perdana

Perdana 2.4 mendapat sebuah skrin sesentuh 6.2 inci dengan sistem navigasi, enam pembesar suara dan sebuah ‘subwoofer’ untuk pengalaman memandu yang lebih menghiburkan. Sistem operasi Android yang disertakan juga lancar dan mudah digunakan, ditambah pula dengan grafik yang menarik.

Proton Perdana

Walaupun dibekalkan sistem GPS berasingan semasa konvoi ini, kami sempat mencuba sistem navigasi Perdana yang kami rasa tidaklah mengagumkan namun tidak juga mengecewakan. Grafiknya biasa-biasa sahaja, namun sistem tersebut memberikan petunjuk yang tepat dan cepat.

Pemanduan mantap

Proton Perdana

Seperti yang dijangkakan, Perdana mempunyai ciri-ciri pemanduan yang tidak ubah seperti Accord. 178 hp dan 222 Nm tork yang dihasilkan oleh enjin 2.4 liter i-VTEC DOHC ternyata cukup untuk menggerakkan sedan segmen D tersebut dengan mudah.

Sistem suspensinya juga berfungsi dengan baik dalam aspek keselesaan dan juga pengendalian. Kami mendapati kereta ini seronok untuk dipandu tidak kira samada di atas lebuh raya ataupun di jalan berbengkang-bengkok.

Proton Perdana

Honda tidak membenarkan Proton untuk melakukan apa-apa perubahan terhadap enjin, transmisi, casis dan suspensi Perdana, jadi penglibatan mereka terhad kepada bahagian tayarnya sahaja di mana ia menggunakan Goodyear EfficientGrip yang dikatakan lebih senyap berbanding sebelum ini.

Lebih nilai untuk wang

Proton Perdana

Perdana dijual dengan harga bermula dari RM113,888 untuk varian 2.0 dan RM138,888 untuk varian 2.4. Jika dibandingkan, tidak ada kereta segmen D lain yang ditawarkan pada harga semurah ini.

Untuk harga kurang dari RM140,000, anda mendapat sebuah kereta buatan nasional yang padat dengan ciri-ciri mewah seperti lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, ‘paddle shifters’, kamera undur, tempat duduk boleh laras, ‘power boot’ dan bermacam-macam lagi.

Aspek keselamatan Perdana juga memuaskan hati dengan adanya ciri-ciri seperti empat beg udara, kawalan kestabilan, ABS dengan EBD dan ISOFIX.

Proton Perdana

Spesifikasi Proton Perdana 2.0
Enjin: 4 silinder, SOHC i-VTEC
Kapasiti: 1,997cc
Kuasa: 154hp @ 6,300rpm
Tork: 189Nm @ 4,300rpm
Transmisi: 5 kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM113,888

Proton Perdana

Spesifikasi Proton Perdana 2.4
Enjin: 4 silinder, DOHC i-VTEC
Kapasiti: 2,354cc
Kuasa: 178hp @ 6,500rpm
Tork: 222Nm @ 4,300rpm
Transmisi: 5 kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM138,888

Previous post

Pengeluar Kereta Global Terpaksa Menangguh Pelancaran Baharu

Next post

Kia Sportage Menang Kajian Kenderaan Boleh Dipercayai J.D.Power

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *