Motosikal / Lain Lain Roda

Tunggang Uji – Yamaha NMAX Baharu

Walaupun jumlahnya masih kurang berbanding kapcai, skuter semakin mendapat tempat di kalangan penunggang motosikal di negara ini kerana sifatnya yang mudah dikendali, selesa serta praktikal. Dengan permintaan yang semakin meningkat, persaingan antara pengeluar juga menjadi semakin sengit apabila masing-masing mahu mengenengahkan produk tersendiri yang sarat dengan teknologi terkini.

Yamaha yang tidak mahu ketinggalan dalam segmen yang semakin diminati ramai ini mengambil inisiatif untuk menghasilkan NMAX, skuter bersaiz sederhana yang dijangka dapat memenuhi citarasa bukan sahaja penunggang di Malaysia, malah di serata dunia. Bagi yang tidak tahu, NMAX sebenarnya produk global kedua yang dibangunkan oleh Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM) selepas R25.

Yamaha NMAX

Membuat debut di peringkat antarabangsa buat pertama kali pada Februari 2015, NMAX membuat kemunculan pertamanya di negara ini setahun kemudian dan mula menembusi pasaran tempatan secara rasmi April lalu. Ia dijual pada harga RM8,812, agak murah berbanding pesaing terdekatnya Honda PCX yang berharga hampir RM10,000.

Antara ciri utama NMAX yang diketengahkan adalah enjin BlueCore-nya yang dikatakan mampu meningkatkan kecekapan bahan api serta mengurangkan ‘power loss’ yang berlaku akibat pergeseran pada bahagian dalaman. Selain itu, sistem penyejukannya juga dipertingkatkan untuk ketahanan yang lebih lama.

Yamaha NMAX

Sayang sekali, walaupun didatangkan dengan teknologi yang agak canggih, NMAX yang dijual di pasaran Malaysia ketinggalan satu ciri penting iaitu ABS. Walaupun ia mungkin menjadi perbezaan antara hidup dan mati, teknologi ini bukanlah ciri mandatori yang perlu ada pada setiap motosikal yang dijual di negara ini.

Pun begitu, penulis masih tertarik dengan rekaan NMAX yang dikatakan mengandungi DNA ‘abang’ nya iaitu TMAX. Ia kelihatan kemas dan menarik dengan bahagian hadapan yang ‘tajam’ serta garis badan yang menonjol. Selain mempunyai lampu LED hadapan yang terang, saiz lampu belakang juga agak besar yang membuatkannya mudah dilihat terutama pada waktu malam.

Yamaha NMAX

Secara keseluruhan, mengendalikan NMAX adalah satu kerja yang begitu mudah. Dengan saiznya yang sedang-sedang elok dan profil ergonomik yang tepat, skuter ini mudah dinaiki oleh semua golongan penunggang motosikal. Penulis yang berketinggian kurang sedikit dari 1.7 m tidak mempunyai masalah untuk meletakkan kedua-dua belah kaki ketika menunggu lampu isyarat.

Namun begitu, hasil dari perbualan dengan rakan-rakan media yang lain, NMAX ini mungkin tidak begitu sesuai untuk ditunggang oleh mereka yang tinggi lampai. Ditambah pula dengan ruang meletak kaki yang terhad, keselesaan terutamanya ketika perjalanan jarak jauh dilihat akan menjadi isu bagi golongan ini. Mungkin skuter yang lebih besar seperti Yamaha TMAX lebih sesuai buat mereka.

Yamaha NMAX

Aspek praktikaliti skuter ini juga diberikan penekanan. Selain dari ruang storan di bawah tempat duduk yang cukup luas untuk sebuah topi keledar muka penuh, NMAX juga mempunyai ruang kecil berhampiran bar hendal yang boleh digunakan untuk meletakkan barang-barang peribadi seperti telefon, kunci dan sebagainya. Tempat duduknya juga mempunyai engsel berspring yang bertujuan untuk memudahkan anda apabila mengisi barang.

Dari segi prestasi pula, NMAX terasa agak berkuasa untuk skuter berenjin 155 cc. Dengan teknologi suntikan bahan api, enjin bersilinder tunggal ini menghasilkan kuasa sebanyak 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,000 rpm yang penulis kira sudah cukup untuk menggerakkan skuter ini dengan penuh lancar. Digabungkan dengan pendikit yang responsif dan transmisi V-Belt automatik yang cekap, NMAX memang sesuai untuk tunggangan ‘stop-and-go’ yang kerap berlaku di kawasan yang mempunyai banyak lampu isyarat seperti Lembah Klang.

Yamaha NMAX

Dikuasakan oleh teknologi Blue Core, penggunaan bahan api NMAX boleh dikata sangat menjimatkan. Tangki penuh 6.6 liter yang dibekalkan cukup untuk seminggu dengan jarak tunggangan hampir 300 km, biarpun selalu dipaksa ‘bekerja keras’. Namun, penulis berpendapat bahawa ia memerlukan satu sistem seperti Idling Stop yang terdapat pada PCX untuk lebih penjimatan.

Sistem penggantungan NMAX yang terdiri dari sepit udang teleskopik di hadapan dan spring berkembar di belakang terasa sedikit keras namun masih selesa, walaupun untuk perjalanan jarak jauh. Skuter ini juga terasa stabil ketika mengambil selekoh tetapi seperti yang dijangka, ia akan terasa sedikit teroleng dan membuai-buai jika dikerah secara berlebihan. Harus diingat, ini bukannya ‘sport bike’.

Yamaha NMAX

Walaupun memuaskan hati, tahap cengkaman brek cakera bersaiz 230 mm yang dipasang di bahagian hadapan dan belakang masih boleh diperbaiki dengan penambahan ABS. Tidak dinafikan penambahan ABS akan meningkatkan kos pemilikan namun anggaplah ia sebagai satu pelaburan yang mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda dalam situasi berbahaya. Lagipun, tahu-tahu sajalah perangai pengguna jalanraya kita ini.

Akhir sekali, penulis merasakan Yamaha NMAX menyediakan segala yang diperlukan oleh seorang penunggang yang mementingkan praktikaliti dan keselesaan. Ia mudah dikendalikan dan sesuai untuk semua golongan, samada yang baru mendapat lesen atau yang sudah berpengalaman.

Previous post

Volvo Tawarkan Pakej R-Design Untuk S90 Dan V90

Next post

Imej-imej Pertama Porsche Panamera 2017

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *