Pusat 4S Ketiga Volkswagen di Malaysia
Volkswagen Malaysia dan Swire Motors berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran penambahan terbaharu dalam rangkaian Volkswagen – Pusat 4S Volkswagen Puchong. Ia juga merupakan Pusat Servis Technikal Volkswagen yang ketiga di negara ini.
Selepas majlis pecah tanah diadakan pada Mei 2015, Swire Motors kini bersedia untuk melancarkan pusat servisnya yang lengkap. Pusat 4S ini mampu memenuhi keperluan para pemilik kenderaan Volkswagen dari segi jualan hinggalah selepas jualan yang melibatkan servis umum & pantas, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat, selain diagnostik dan pembaikan utama.
Memiliki keluasan mencecah 92,000 kaki persegi, Pusat 4S Volkswagen Puchong kini mempunyai 24 ruang penyelenggaraan dan boleh dikembangkan menjadi 35 ruang pada masa depan. Ia juga memiliki bilik pameran Volkswagen paling besar yang boleh mempamerkan 15 buah kenderaan dan dua ruang penyerahan kereta.
Sebagai usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan, Pusat 4S Volkswagen Puchong dikendalikan oleh 30 orang kakitangan selepas jualan yang berpengalaman dan terlatih.
Swire Motors telah melabur sebanyak RM20 juta untuk pemilikan tanah, membina bangunan, membeli peralatan yang diluluskan oleh Volkswagen, menyediakan kemudahan, serta melantik dan melatih semua kakitangannya. Sebanyak 70% pelaburan itu digunakan bagi tujuan selepas jualan, manakala baki 30% dilaburkan dari segi jualan.
Pusat 4S Volkswagen Puchong merancang untuk menyediakan ruang servis ekspres pada masaakan datang. Selain servis serta pembaikan kecil dan besar, perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuklah penjajaran tayar, servis pendingin hawa, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat serta aksesori.
Pusat 4S Volkswagen Puchong juga memiliki pusat Badan & Cat bertauliah yang dilengkapi teknologi terkini seperti pistol udara tahan karat baharu untuk kerja-kerja mengecat dengan cat berasaskan air. Cat baharu yang telah ditambah baik itu memerlukan lapisan lebih nipis. Ia juga menawarkan hasil cat yang lebih bersih dan cantik berbanding cat berasaskan pelarut.
Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Ini merupakan Pusat Teknikal Volkswagen yang ketiga dilancarkan dalam tempoh setahun dan menjadi bukti bahawa pelanggan sememangnya menjadi keutamaan kami. Volkswagen Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan-rakan pengedar untuk memastikan pelaburan yang tepat dilakukan dari segi infrastruktur. Jadi, kami boleh sama-sama menambah baik tawaran dan pengalaman pemilikan kenderaan Volkswagen. Tahun ini akan menjadi tahun di mana Volkswagen Malaysia memberi fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat semua pelanggan kami. Tahniah kepada Swire Motors atas pelancaran pada hari ini dan terima kasih atas komitmen anda terhadap jenama Volkswagen.”
Pengarah Urusan Taikoo Motors, Derrick Chan berkata, “Swire Motors berbangga untuk memeperkenalkan pusat Volkswagen terbesar kami di kawasan selatan Lembah Klang. Kami percaya bahawa pelanggan adalah keutamaan kami. Maka, kami telah melabur untuk melengkapkan pusat ini dengan peralatan, kakitangan dan kemudahan yang terbaik. Pelaburan kami pada hari ini akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang dan akan membantu membina jenama Volkswagen di Malaysia. Terima kasih Volkswagen atas sokongan yang berterusan dan keyakinan terhadap Swire Motors.”
Pusat 4S Volkswagen Puchong beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8:30am hingga 6:00pm dan dari jam 9:00am hingga 6:00pm pada hari Ahad dan cuti umum untuk bilik pamerannya. Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, ia beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8:00am hingga 8:00pm. Antara kemudahan yang disediakan ialah sebuah lounge dilengkapi empat buah komputer untuk kegunaan pelanggan, TV dengan pelbagai saluran Astro, sebuah kafe dan WIFI berkelajuan tinggi.
Maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my
No Comment