Berita Auto

Volvo S90 Recharge T8 Dilancarkan Di Malaysia

Volvo Car Malaysia hari ini memperkenalkan model Volvo S90 Recharge T8 yang dikemaskini dengan kemasan luaran dan dalaman baharu serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi terkini.

Dari segi rekaan, S90 Recharge T8 masih mengekalkan gaya minimalis dan imej premium dengan lampu LED ‘Tukul Thor’ dan gril krom Iron Mark dengan bilah menegak, cuma lampu belakangnya telah dikemaskini dengan rekaan mirip kepada S60 T8 R-Design yang dilancarkan baru-baru ini. Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey and Thunder Grey.

Di dalam, motif Scandinavian dipertingkatkan lagi menerusi bilah udara menegak di setiap sisi antara muka Sensus, tempat duduk hadapan baharu dan bumbung suria baharu. Panel Sensus tersebut menampilkan dua socket USB di bahagian hadapan bagi sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto. Skrin sentuh berukuran 9 inci pula memberikan akses mudah dan pantas kepada semua menu ciri keselamatan, dan aplikasi hiburan-dalaman kereta.

Selain itu, model ini turut menampilkan sistem audio Bowers & Wilkins yang dinaik taraf sepenuhnya dengan 19 pembesar suara yang mampu menghasilkan kekuatan bunyi sehingga 1,400W. Teknologi pembesar suara Nautilus memberikan bunyi yang jelas, manakala tweeter aluminium dan kon pembesar suara generasi baharu jarak-pertengahan dalam komposit Continuum pula menghasilkan bunyi yang halus, asli dan semula jadi.

Apa yang menarik, sistem audio ini mempunyai beberapa mod termasuk mod dewan konsert, yang mengambil inspirasi daripada kualiti bunyi akustik Gothenburg Concert Hall. Manakala, mod bunyi Jazz Club pula membawakan pengalaman suasana bunyi teater Swedish atau kelab jazz.

Dibangunkan dengan platform Scalable Product Architecture (SPA), S90 Recharge T8 dikuasakan oleh trenkuasa hibrid plug-in Volvo Drive-E yang menghasilkan 407 hp dan 680 Nm menerusi enjin 2.0-liter turbo dan supercharge serta motor elektrik pada gandar belakang.

Ciri keselamatan terdiri daripada sistem Intellisafe Volvo yang merangkumi ciri-ciri seperti Blind Spot Information Systems (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Front and Rear Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid, Pilot Assist, had kelajuan 180 km/j dan banyak lagi.

S90 Recharge T8 dijual pada harga RM339,315 (atas jalan tanpa insurans) selepas pengecualian cukai jualan. Volvo Car Malaysia juga akan melancarkan varian T5 pada Jun ini dengan harga RM328,888 (sebelum pengecualian cukai jualan).

Previous post

Ferrari F8 Tributo Ditransformasi Menjadi Mansory F8XX

Next post

Volvo Cars Untuk Bekerja Dengan DiDi Untuk Armada Panduan-Sendiri

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *