Berita Auto

Suzuki Swift Sport Akhirnya Tiba Di Malaysia

Kepulangan Suzuki ke Malaysia menerusi wakil pengedar baharu iaitu Naza Eastern Motors Sdn Bhd disempurnakan menerusi pelancaran model ‘hot hatch’ yang dinanti-nantikan iaitu Suzuki Swift Sport generasi ketiga. Ia ditawarkan pada harga RM139,900 dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km.

Diperkenalkan di peringkat global pada 2017, Swift Sport dikuasakan oleh enjin Boosterjet 1.4-liter turbo empat silinder yang mampu menjana 140 hp pada 5,500 rpm dan 230 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan yang didatangkan dengan paddle shifter. Maaf, versi manual tidak ditawarkan.

Pun begitu, prestasi jentera seberat 970 kg ini masih agak mengagumkan dengan kemampuan untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam lapan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j. Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Swift Sport baharu dibina menggunakan platform Heartech yang bukan sahaja menawarkan struktur lebih tegar, malah aspek keselamatan yang dipertingkatkan.

Rekaannya yang menarik dilengkapkan lagi dengan kehadiran jeriji honeycomb, skirting gentian karbon pada bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang, serta rim berukuran 16 inci. Sementara itu, Kemasan hitam pada tiang belakang memberikan efek bumbung terapung. Ia turut didatangkan standard dengan lampu projektor LED dengan lampu nyalaan siang dan muncung ekzos berkembar.

Sesuai dengan namanya, ruang dalaman diberikan penampilan yang sporty menerusi ciri-ciri seperti kerusi semi-bucket dengan logo ‘Sport’, serta stereng jenis flat-bottom dengan butang kawalan multifungsi untuk mengawal maklumat yang dipaparkan pada kluster instrumen dan paparan audio. Bercakap tentang paparan, Swift Sport didatangkan dengan skrin sentuh tujuh inci dengan sokongan Apple CarPlay.

Terdapat empat warna menonjol yang ditawarkan untuk model ini iaitu Champion Yellow, Pearl Pure White, Speedy Blue Metallic dan Burning Red Pearl Metallic. Pelanggan yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat model ini serta memandu ujinya boleh mengunjungi bilik pameran Naza Eastern Motors yang terletak di dalam kawasan Naza Automall di Petaling Jaya.

Previous post

Hyundai Lancar Program Kesetiaan Selepas Jualan Di Malaysia

Next post

Vespa Primavera Pic Nic Dilancarkan - RM19,900

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *