Berita Auto

Mazda CX-3 Facelift (2021) Dilancarkan Di Malaysia

Bermaz Motor hari ini mengumumkan ketibaan Mazda CX-3 2021 facelift yang hadir dengan ciri infotainmen dan keselamatan yang telah ditambah baik. Diimport sepenuhnya dari Jepun, crossover kompak ini dijual pada harga RM130,729 (harga atas jalan tanpa insurans) selepas pengecualian cukai jualan 50%.

Bermula dengan bahagian luaran, CX-3 kini didatangkan dengan bumbung suria dan sensor parkir hadapan. Ciri-ciri lain yang disertakan standard sebelum ini akan dikekalkan. Ini termasuklah lampu hadapan, belakang dan nyalaan siang LED, rim aluminium aloi 18 inci, spoiler bumbung, antena sirip yu dan muncung ekzos berkembar.

Untuk model 2021 ini, Bermaz Motor menawarkan satu warna baharu yang dikenali sebagai Polymetal Grey. Ia akan ditawarkan bersama empat lagi warna lain yang sedia ada iaitu Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue dan Machine Grey.

Di dalam, penambahbaikan merangkumi upholsteri kulit/fabrik baharu untuk tempat duduk, serta sistem Apple CarPlay dan Android Auto pada skrin sentuh warna berukuran tujuh inci. Skrin ini juga memberikan akses kepada ciri pemantauan 360-darjah baharu. Ciri-ciri standard lain yang turut disertakan termasuklah sistem Mazda Connect, Bluetooth dan sistem audio dengan enam pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, sistem i-Activesense telah dipertingkatkan dan kini mempunyai ciri-ciri baharu iaitu High Beam Control (HBC), Lane Departure Warning System (LDWS), Driver Attention Alert (DAA), dan Smart City Brake Support (SCBS).

Seperti sebelum ini, CX-3 dikuasakan oleh enjin petrol Skyactiv-G 2.0-liter yang menghasilkan 154 hp pada 6,000 rpm dan 206 Nm dari 2,800 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan yang dilengkapi dengan mod penukaran gear secara manual. Sementara itu, teknologi G-Vectoring Control pula memberikan prestasi pengendalian yang lebih cekap.

Model ini didatangkan dengan waranti pengeluar dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 km. Pelanggan yang membuat tempahan bermula hari ini hingga 30 Jun 2021 akan menikmati harga dengan pengecualian cukai jualan tersebut.

Previous post

Aplikasi Honda CONNECT Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Bahagian Dalam Kia K8 Nampak Canggih Seperti Bahagian Luarnya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *