Bisnes

Perodua Sasar Jual 240,000 Kereta Tahun Ini

Berikutan permintaan tinggi bagi model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan, Perodua hari ini mengumumkan bahawa ia menetapkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit bagi 2021, 9% lebih tinggi berbanding 220,163 unit yang dijual pada tahun lalu.

Jumlah jualan tersebut terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain. Dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 unit, syarikat itu mencatatkan 41.6% penguasaan pasaran.

“Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir-Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model kami, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan buat kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menambah bahawa Perodua dan ekosistem automotif Malaysia menghargai segala sokongan kepada industri dan akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard berkaitan COVID-19 dipatuhi.

Dengan pemulihan jualan yang dijangkakan, pengeluar kenderaan kompak tersebut mengaggarkan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini.

Perodua juga menyasarkan untuk menambah stok dengan menaikkan sasaran pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini, iaitu jumlah yang tertinggi dalam sejarahnya. Jumlah itu mewakili peningkatan sebanyak 23% daripada 220,968 unit yang dikeluarkan sepanjang 2020.

Untuk perkhidmatan selepas jualan, Perodua menyasarkan peningkatan 20% dalam pengambilan servisnya, iaitu daripada 2 juta unit pada tahun lalu kepada 2.4 juta unit pada tahun ini.

“Dalam usaha kami untuk terus mendapatkan sokongan daripada para pelanggan kami, Perodua akan mengubah pendekatan kami dalam segala aspek, baik dalam perhubungan pelanggan, nilai-nilai kami mahupun operasi kami – terutama sekali di bahagian jualan kami, Perodua Sales Sdn Bhd,” kata Dato’ Zainal.

Tambah beliau, pendekatan yang dinamakan ‘Perodua Smart Build’ itu akan merevolusikan penawaran Perodua disamping meningkatkan lagi kemampuan operasi syarikat kereta kompak tersebut.

Maklumat lanjut mengenai pendekatan tersebut serta kesannya terhadap Perodua, rakan-rakan niaga, ekosistem automotif serta pelanggan akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Previous post

Toyota Innova 2021 Kini Di Pasaran Malaysia

Next post

Jentera Drift Supra Eurofighter Ini Mempunyai Enjin 2JZ 1,000 HP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *