Bisnes

Jualan Proton Jatuh 29.9% Akibat PKP 2.0

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilihat telah menjejaskan momentum prestasi jualan Proton. Pada bulan lalu, pengeluar kenderaan nasional itu menjual 5,964 unit kenderaan, menunjukkan penurunan sebanyak 7,342 unit berbanding Disember 2020 dan 29.9% berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pegangan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5%, iaitu 1.0% lebih rendah berbanding Januari 2020. Menurut Proton, kadar jualan mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan akibat gangguan pada rantaian bekala komponen dan bukan pengurangan tempahan.

Saga kekal sebagai model terlaris Proton dengan 2,583 unit terjual pada Januari lalu, diikuti dengan X50 (1,082 unit), Persona (970 unit) dan X70 (892 unit). Sejak pelancarannya pada Oktober tahun lalu, sebanyak 4,809 unit X50 telah diserahkan kepada pelanggan.

“Bulan Januari adalah satu bulan yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia. Kami mempunyai harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baru ini, terutamanya selepas pengumuman insentif PENJANA akan kekal hingga ke pertengahan tahun. Malangnya, pengumuman PKP untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu.

“Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri automotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan. Keselamatan semua Rakyat Malaysia perlu diutamakan dan syarikat-syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah,” kata Roslan Abdulah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Previous post

Perkenalkan DS 4 Baharu - Jawapan Perancis Kepada A Class

Next post

Nissan Pathfinder Kini Lebih Rugged

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *