Bisnes

Isuzu Kekal Jenama Trak No. 1 Di Malaysia

Isuzu Malaysia mengesahkan bahawa mereka berjaya mengekalkan kedudukan No.1 dalam dua kategori bagi tahun 2020 iaitu jenama trak No. 1 di Malaysia selama tujuh tahun dan jenama trak tugas ringan No. 1 untuk 11 tahun berturut-turut.

Pencapaian ini adalah berdasarkan kepada data jualan tahunan trak yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Kedudukan No. 1 jenama trak untuk tujuh tahun berturut-turut itu disumbang oleh jualan keseluruhan sebanyak 4,747 unit dalam semua segmen sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, kejayaan syarikat menjadi jenama pilihan untuk trak tugas ringan di Malaysia bagi 11 tahun berturut-turut disumbangkan oleh model utama iaitu trak ELF dengan jualan sebanyak 4,551 unit pada tahun lepas sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Koji Nakamura berkata, “Isuzu Malaysia amat berbesar hati untuk mengakhiri tahun 2020 dengan pencapaian terbaik. Kami ingin mengalu-alukan kedatangan tahun baharu dengan sambutan berganda selepas berjaya menduduki kedudukan tertinggi untuk kategori trak dan jenama trak tugas ringan sekali lagi.”

“Jumlah trak yang dijual tahun lalu merupakan perkongsian pasaran paling tinggi pernah kami rekodkan sejak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. ditubuhkan. Tahun lalu merupakan ulang tahun ke-40 syarikat kami di Malaysia,” tambah beliau.

Nakamura menyatakan beberapa inisiatif strategik Isuzu Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan jualan trak, meningkatkan kualiti servis dan kepuasan pelanggan di sebalik situasi pasaran yang sukar sepanjang tahun lalu turut dilaksanakan. Antaranya termasuklah pengembangan rangkaian pengedar, pengenalan inovasi produk baharu dan memastikan penyerahan trak baharu kepada pelanggan dilakukan tepat pada masanya.

Satu lagi perkara signifikan yang menyumbang kepada kejayaan Isuzu sebagai jenama pilihan trak tugas ringan pada tahun lalu ialah pengenalan model Isuzu ELF yang dipertingkatkan dengan Isuzu Safety Plus, kesesuaian bahan bakar biodiesel B20 dan manfaat jaminan lebih baik.

Previous post

Lotus Ada Kilang UK Baharu Dengan Kapasiti 1500 Unit / Tahun

Next post

BMW i4 Dalam Fasa Ujian Dinamik Terakhir

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *