Berita Auto

Aston Martin DBX Tiba di Malaysia – RM818k

Aston Martin Kuala Lumpur telah melancarkan model SUV pertama Aston Martin iaitu DBX. Dipasang di St Athan, Wales, ia dijual pada harga bermula dari RM818,000 (tidak termasuk duti, kustomisasi, cukai dan insurans).

Tidak seperti kebanyakan SUV lain di pasaran, DBX dibina di atas platformnya yang tersendiri dengan penggunaan aluminium yang meluas. Ini bukan sahaja memberikannya badan yang tegar untuk pemanduan dinamik, malah membantu dalam mengekalkan berat keseluruhan sebanyak 2,245 kg.

Secara standard, model ini didatangkan dengan lampu utama Bi-LED, lampu nyalaan siang yang diintegrasikan pada saluran udara aerodinamik pada bampar hadapan, dan lampu LED belakang. Rim berukuran 22 inci ditawarkan dalam dua rekaan iaitu Sport dan Ribbon, masing-masing dengan tiga pilihan kemasan. Ia dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero.

Sementara itu, bahagian dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Caithness yang boleh didapati dalam pelbagai warna, serta material Alcantara pada pelapik bumbung. Kemasan papan pemuka pula terdiri daripada gabungan kemasan kayu dan gentian karbon. Turut disertakan adalah bumbung panoramik kaca, tailgate berkuasa, ciri pelarasan 16 cara untuk kerusi pemandu, pemanas stereng dan pelbagai lagi.

Sistem infotainmen pula terdiri daripada paparan berukuran 10.25 inci pada konsol tengah dan kluster instrumen digital dengan paparan berukuran 12.3 inci. Antara ciri yang disertakan termasuklah sistem navigasi satelit, Apple CarPlay, sambungan Bluetooth, port kad SD, empat port USB, tiga port pengecas 12v dan sistem audio premium Aston Martin berkapasiti 800 watt dengan 14 pembesar suara. Sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna memeriahkan lagi suasana di dalam kabin.

Dari segi praktikaliti, SUV lima tempat duduk ini mempunyai ruang but berkapasiti 632 liter yang boleh memuatkan beberapa bagasi, beg golf dan juga peralatan ski. Tempat duduk belakang pula boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40.

Seperti model-model Aston Martin yang lain, DBX mempunyai kuasa yang tidak mengecewakan. Ia dikuasakan oleh enjin twin-turbo 4.0-liter V8 yang mampu menghasilkan 550 PS pada 6,500 rpm dan 700 Nm dari 2,200 hingga 5,000 rpm. Transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan differential aktif dan Limited-Slip Differential (LSD) eDiff membantu model ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 291 km/j.

Untuk casis pula, Aston Martin menggunakan sistem suspensi udara dan sistem kawalan anti-olengan elektrik 48v (eARC) yang dikatakan dapat memberikan DBX pengendalian yang lebih seperti kereta sport berbanding SUV. Bukan itu sahaja, suspensi udara itu juga boleh dinaikkan sebanyak 45 mm dan diturunkan sebanyak 50 mm.

Selain itu, DBX juga dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemandu canggih seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki, Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LKA), Lane Change Warning (LCW), Rear Cross Traffic Warning (RCT), Traffic Sign Recognition (TSR), Blind Spot Warning (BSW) dan Door Opening Warning (DOW).

Previous post

Hyundai Sonata 2020 Boleh Mula Ditempah

Next post

Konsep Lexus J201 Mungkin Menjadi Off-Roader Terbaik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *