Berita Auto

Audi Q5 2017 Dipandu Uji di Los Cabos, Mexico

Dengan jumlah jualan melebihi 1.6 juta unit sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu, Q5 adalah salah satu model yang paling penting dalam portfolio Audi, namun model generasi kedua yang anda lihat di sini dikatakan lebih baik dalam semua aspek. Selepas seharian memandu SUV itu di bawah sinaran matahari Mexico, cukuplah untuk mengatakan yang kami percaya.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Ya, baru-baru ini kami diterbangkan ke Los Cabos yang terletak di hujung semenanjung Baja California semata-mata untuk mencuba SUV saiz pertengahan premium tersebut. Cuaca panas terik sepanjang keberadaan kami di sana namun dengan adanya pelbagai jenis permukaan jalan yang berlatarbelakangkan gurun dan laut, ia merupakan lokasi yang paling sesuai untuk kenderaan seperti Q5.

03_Q5_10

Q5 serba baharu membuat penampilan pertamanya di Paris Motor Show pada September tahun ini dan akan mula dijual di pasaran Amerika Utara dan Eropah bermula Januari 2017. Menurut wakil Audi Malaysia, SUV tersebut dijangka memasuki pasaran negara ini pada suku ketiga tahun hadapan.

Ia menggunakan platform MLB Evo (juga digunakan pada Q7) versi pendek. Selari dengan trend kenderaan masa kini, Q5 lebih besar berbanding sebelum ini dengan ukuran panjang 4.66 meter, lebar 1.89 meter dan tinggi 1.66 meter. Jarak rodanya juga telah memanjang sebanyak 20 mm, memberikan Q5 kabin yang lebih luas.

2017 Audi Q5 test drive 36

Butnya juga menampilkan banyak ruang. Bergantung pada kedudukan tempat duduk belakang, ruang bagasi boleh berkembang dari 550 hingga 610 liter, 10 liter lebih banyak berbanding Q5 generasi pertama. Ruang tersebut juga boleh diluaskan sehingga 1,550 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Lebih menarik lagi, walaupun ia kini lebih besar, Q5 secara keseluruhannya 90 kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Ini merupakan hasil dari penggunaan keluli bertegangan tinggi dan aluminium pada bahagian suspensi, hud enjin serta penutup bonet.

2017 Audi Q5 test drive 12

Dari segi rekaan, Q5 adalah contoh terbaik bagi membuktikan yang garis lurus tidaklah membosankan jika ianya dilakukan dengan betul. SUV itu tampak lebih gagah dan berani, terutamanya jika dilihat pada rekaan gril Singleframe dan lampu hadapannya.

Dari sisi, gerbang roda dan garis bahu yang jelas bergabung bagi menghasilkan profil sisi yang tegap, sementara garis bumbungnya pula memberinya penampilan seakan kereta coupe. Pada bahagian belakang pula, bentuk lampu dan kemasan pada bahagian bawah bampar memberikan Q5 penampilan lebih lebar.

2017 Audi Q5 test drive 20

Bahagian kabinnya pula hampir sama dengan A4. Ia mempunyai rekaan papan pemuka futuristik, diiringi oleh butang dan tombol berkualiti tinggi yang disusun kemas bagi memudahkan operasi. Didatangkan dengan paparan TFT 12.3 inci, Audi Virtual Cockpit menawarkan paparan digital sepenuhnya dalam dua konfigurasi yang boleh dipilih melalui butang pada roda stereng.

Sistem infotainmen MMI pula boleh diakses melalui skrin 8.3 inci pada konsol tengah. Ia dikawal menggunakan butang Drive Select dan juga touchpad yang terletak berdekatan dengan tombol gear. Touchpad membolehkan pemandu memasukkan karakter seperti huruf dan juga melakukan isyarat jari; untuk zoom pada peta, misalnya.

04_Q5_46

Q5 akan ditawarkan dengan lima pilihan enjin – empat TDI dan satu TFSI. Kami sempat untuk mencuba tiga daripadanya, iaitu 2.0 liter TFSI dengan 252 hp dan 370 Nm, 2.0 liter TDI dengan 150 hp dan 320 Nm dan 3.0 liter TDI dengan 286 hp dan 620 Nm.

Tanpa mengira varian yang dipandu, kami mendapati Q5 cukup berprestasi dengan setiap aspek diperhalusi untuk pengalaman memandu yang mengujakan. Laluan sejauh 310 km yang merangkumi lebuh raya, jalan pesisiran pantai serta bahagian off-road sepanjang 40 km yang dipenuhi kaktus itu menjadi lapangan ujian semulajadi yang sempurna untuk SUV itu.

03_Q5_37

Namun untuk pasaran Malaysia, ia akan didatangkan dalam satu versi sahaja iaitu 2.0 TFSI. Enjin empat silinder dengan pengecas turbo itu digabungkan dengan transmisi klac berkembar S tronic tujuh kelajuan, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 237 km/j.

Salah satu teknologi terkini yang akan ditampilkan adalah sistem pacuan empat roda ‘quattro with ultra’ yang ditugaskan untuk menyalurkan tork ke tayar. Ia juga memainkan peranan dalam penjimatan minyak dengan melepaskan gandar belakang supaya kenderaan bergerak dengan pacuan roda hadapan sahaja dalam keadaan pemanduan normal.

2017 Audi Q5 test drive 34

Selepas memandunya selama beberapa jam, sebuah perisian yang dibangunkan khas oleh Audi menunjukkan yang hampir 70 peratus dari perjalanan dilakukan dengan pacuan roda hadapan. Ini akan merendahkan kadar penggunaan bahan api dalam jangka masa panjang.

Kuasa yang ada pula dimaanfatkan sepenuhnya dengan pengendalian yang memuaskan. Komponen-komponen aluminium yang digunakan memberikan Q5 casis yang tangkas apabila berhadapan dengan selekoh namun cukup lembut di atas jalan yang berbonggol dan berlubang.

2017 Audi Q5 test drive 35

Pandangan kami terhadap suspensi Q5 mungkin berat sebelah memandangkan kesemua unit pandu uji di Mexico dilengkapi dengan suspensi udara adaptif (adaptive air suspension) dengan kawalan damper yang ditawarkan secara ‘optional’. Ia merupakan naik taraf yang besar berbanding suspensi besi standard yang dibekalkan.

Pilihan suspensi tersebut membolehkan Q5 bergerak dengan ketinggian yang berbeza-beza mengikut mod Comfort, Automatic, Dynamic, All-Road dan Off-Road yang boleh dipilih dengan menggunakan butang Drive Select. Kami mendapati mod Dynamic yang merendahkan kenderaan sebanyak 15 mm paling sesuai untuk digunakan di jalan-jalan di sini.

2017 Audi Q5 test drive 01

Mod Off-Road pula meninggikan badan sebanyak 45 mm namun walaupun dengan ketinggian yang bertambah, ‘body roll’ berjaya dikurangkan hingga ke tahap minimum. Selain dari segi prestasi, suspensi udara tersebut juga praktikal. Ia membolehkan bahagian belakang kenderaan direndahkan sebanyak 55 mm bagi memudahkan kerja memunggah barang.

Barisan ciri-ciri bantuan dan keselematan Q5 pula diketuai oleh sistem Adaptive Cruise Control (ACC) yang secara asasnya membolehkan memecut sendiri sambil mengekalkan jaraknya dengan kenderaan di hadapan dengan menggunakan dua radar dan kamera.

03_Q5_53

Jarak boleh ditetapkan dalam lima tahap dan sesuatu yang agak mengagumkan adalah ACC boleh digunakan pada kelajuan sehingga 250 km/j. Q5 boleh membrek dengan sendiri (hingga berhenti, jika perlu) dengan adanya fungsi Stop & Go. Seperti yang tertera pada namanya, sistem tersebut membolehkan kenderaan bergerak semula secara automatik. Ia boleh dinyahaktifkan namun ia masih akan memberikan amaran jika anda berada terlalu dekat dengan kenderaan di hadapan.

Lain-lain ciri yang disertakan termasuklah sistem bantuan pemandu seperti Traffic Jam Assist, Audi pre sense front, Audi pre sense rear, Active Lane Assist, Cross Traffic Assist, Exit Warning dan pelbagai lagi.

03_Q5_48

Waktu kami di Mexico boleh dikatakan singkat namun masa yang diluangkan bersama produk terbaru Ingolstadt ini sudah cukup untuk memberi gambaran tentang pesaing terbaru bagi segmen SUV saiz pertengahan premium. Walaupun penulis secara peribadinya tidak pernah memandu model generasi pertama, kami merasakan yang model terbaru ini menjangkaui jangkaan dengan pakej keseluruhan yang menarik.

Dengan rupa yang penuh gaya, barisan enjin yang kuat serta teknologi yang canggih, mampukah Audi menandingi rekod jualan 1.6 juta yang dicapai sebelum ini? Hanya masa akan menentukan.

2017 Audi Q5 test drive 37

Spesifikasi Audi Q5 2.0 TFSI
Enjin: empat silinder, pengecas turbo dengan sistem Audi Valvelift
Kapasiti: 1,984 cc
Kuasa: 252 hp @ 5,000 – 6,000 rpm
Tork: 370 Nm @ 1,600 – 4,500 rpm
Transmisi: S tronic tujuh kelajuan
0-100 km/j: 6.3 saat
Kelajuan maksimum: 237 km/j
Harga: –

03_Q5_15

2017 Audi Q5 test drive 09

2017 Audi Q5 test drive 07

 

Previous post

Audi Q8 Akan Tampil di Detroit Auto Show

Next post

Honda Telah Membina 100 Juta Kenderaan Setakat Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *