Berita Auto

Mercedes-Benz E-Class Serba Baharu Dilancarkan

Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan sedan mewah E-Class (W213) ke pasaran tempatan. Model generasi ke-10 itu ditawarkan dengan empat varian bermula dari E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde, E 250 Exclusive dan E 300 AMG Line.

Mercedes-Benz E 200 Avantgarde Line (1)

Seperti yang dapat dilihat, rekaan E-Class terbaharu ini saling tak tumpah seperti model-model C-Class dan S-Class yang terkini. Model Exclusive menampilkan gril radiator klasik dengan logo bintang jenama itu pada bonet manakala model-model Avantgarde dan AMG Line mendapat gril sport dengan logo bintang di tengah.

Mercedes-Benz E 300 AMG Line (3)

Pada bahagian belakang, terdapat lampu ‘single-piece’ yang menampilkan dua bar optik kristal yang dikatakan mirip Bima Sakti atau cahaya enjin jet. Berbanding dengan model sebelumnya, panjang jarak roda telah bertambah sebanyak 65 mm, manakala panjang keseluruhan kereta ini meningkat sebanyak 43 mm. Ia juga 20 mm lebih lebar di hadapan dan  7 mm lebih lebar di belakang.

Mercedes-Benz E 200 Avantgarde Line (14)

Bahagian kabinnya yang diinspirasikan oleh S-Class menampilkan dua skrin masing-masing bersaiz 12.3 inci, roda stereng pelbagai fungsi, serta Touchpad pada konsol tengah yang boleh digunakan melalui tulisan tangan atau sistem kawalan suara Linguatronic untuk mengawal sistem infotainmen COMAND.

Mercedes-Benz E 250 Exclusive Line (24)

Selain itu, pemandu juga boleh memilih tema paparan “Classic”, “Sport” atau “Progressive” untuk panel instrumen digitalnya. E-Class baharu ini juga didatangkan dengan pencahayaan kabin LED dengan 64 pilihan warna, yang bertujuan menerangkan lagi bahagian konsol tengah, pemegang pintu, poket pintu, ruang kaki hadapan dan belakang, dan pembesar suara tweeter (untuk model yang dilengkapi dengan sistem bunyi Burmester).

Mercedes-Benz E 200 Avantgarde Line (22)

Kesemua varian E-Class yang ditawarkan untuk pasaran negara ini didatangkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat silinder yang digabungkan dengan kotak gear 9G-Tronic dengan sembilan kelajuan. Model E 200 mempunyai kuasa sebanyak 184 hp dan tork 300 Nm, E 250 (Avantgarde dan Exclusive) mempunyai 211 hp dan 350 Nm, manakala E 300 pula mendapat 245 hp dan 370 Nm. Dari segi prestasi, E 200 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/h dalam 7.7 saat sahaja, dengan kelajuan maksimum 240 km/h. Penggunaan bahan api adalah 5.9 liter bagi setiap 100 km, manakala pelepasan CO2 pula pada tahap 132 g setiap km.

Mercedes-Benz E 200 Avantgarde Line (12)

Sistem suspensi kereta ini dipertingkatkan lagi dengan bantuan Agility Control yang datang lengkap dengan sistem hentakan dan kerendah boleh laras. Pemandu juga mempunyai pilihan mod “Comfort”, “ECO”, “Sport”, “Sport+” dan “Individual” menerusi butang Dynamic Select pada konsol tengah. Antara sistem bantuan dan keselamatan yang disertakan bersama E-Class termasuklah Parking Pilot, Active Parking Assist, dan sistem Pre-Safe Impulse Side dan Pre-Safe Sound.

Mercedes-Benz E 200 Avantgarde Line (3)Mercedes-Benz Malaysia berkata pelancaran E-Class serba baharu ini dimulakan dengan varian E 200 Avantgarde yang dijual pada harga RM395,888 (harga atas jalan tanpa insuran, termasuk GST). Varian E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive akan memasuki pasaran mulai September ini, manakala E 300 AMG Line akan diperkenalkan November tahun ini.

Previous post

Subaru XV Crossover Dari Hanya RM106,800

Next post

RM119,800.00 Untuk Forester Dengan Symmetrical All-Wheel-Drive

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *